GENIUS Remaja bangunkan kemahiran golongan B40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program GENIUS Remaja di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan aktif dalam pembangunan remaja kategori B40 bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan aktiviti berisiko, selain bertujuan meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu.

Ketua Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nasrudin Subhi berkata program itu yang diwujudkan pada 2010 menyediakan kelas kemahiran kepada remaja antara 13 hingga 19 tahun.

Sehingga kini, lebih 6,000 remaja telah menyertainya dengan matlamat GENIUS Remaja adalah untuk mengelakkan remaja dalam kalangan B40 terdedah kepada aktiviti berisiko yang secara tidak langsung akan mewujudkan persekitaran negatif. 

- Advertisement -

“Oleh itu, kita isi waktu hujung minggu remaja menerusi penganjuran kelas kemahiran dan aktiviti berfaedah seiring dengan minat remaja masa kini,” katanya kepada Bernama.

Nasrudin berkata pada masa ini, pusat komuniti GENIUS Remaja dibangunkan di empat kawasan perumahan iaitu PPR Seri Pantai, PPR Pantai Ria, Perumahan Awam Desa Rejang dan PPR Kg Muhibah. 
 
Melalui program itu, pelbagai kelas kemahiran diperkenalkan kepada golongan sasar termasuk kelas kek dan pastri, kecantikan, vokal dan muzik, fotografi serta button badge yang dibantu oleh tenaga pengajar profesional. 

Selain kelas-kelas kemahiran, GENIUS Remaja turut menawarkan kelas mengaji dan fardu ain, kelas tuisyen dan kelas membaca yang pengisiannya dilakukan pada sebelah petang dari Isnin hingga Jumaat. 

Lebih menarik apabila 11 alumni GENIUS Remaja yang telah mahir dalam sesuatu bidang turut dilantik sebagai tenaga pengajar bagi membantu lebih ramai remaja mengikuti kelas berkenaan.

“Oleh kerana minat yang dipelajari dalam GENIUS Remaja, ada yang menyambung pengajian di peringkat tinggi seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ada juga peserta yang memilih menjadi usahawan berbekalkan kemahiran yang diperoleh,” katanya. 

Nasrudin berkata penganjuran kelas kemahiran bukan semata-mata bertujuan melatih dan menyediakan aktiviti kepada remaja tetapi juga medium terbaik untuk meningkatkan nilai positif dalam diri seperti disiplin, jati diri, hormat-menghormati dan kemahiran komunikasi.
 
Mengulas situasi semasa dengan negara masih berdepan pandemik COVID-19, Nasrudin berkata ia tidak membataskan pelajar untuk terus menimba ilmu secara dalam talian.

“Walaupun ada antara remaja yang menghadapi masalah Internet dan data, kita cuba untuk mencari langkah penyelesaian. 

“Contohnya, kita adakan pertandingan dan sekiranya peserta menang, akan diberikan kad prabayar bagi membolehkan mereka mendapatkan data,” katanya.   

GENIUS Remaja yang diwujudkan pada 2010 merupakan satu daripada tujuh inisiatif di bawah program GENIUS selain GENIUS Negara, GENIUS@Pintar, GENIUS Insan, GENIUS Seni, GENIUS Kurnia dan GENIUS Talent. – BERNAMA

- Advertisement -