Gabungan NGO, MPPWP WM bantu penduduk setempat

WANGSA MAJU : Gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Wangsa Maju (MPPWP WM) telah menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan di sini pada 8 November lepas.

NGO tersebut terdiri daripada Ikatan Muslimin Profesional (IMProf), Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera dan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Wangsa Maju.

Advertisement

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera, Mohamad Asri, sumbangan ini adalah untuk membantu penduduk yang kehilangan punca pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

“Walaupun iklan kutipan sumbangan itu hanya dibuka sejak seminggu lalu, namun alhamdulillah kita menerima maklum balas yang baik daripada para penyumbang.

“Bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak sumbangan agar dapat membantu lebih ramai penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, dalam misi kali ini sebanyak 10 keluarga termasuk dari Kampung Setia Jaya, Seksyen 4 Wangsa Maju, Kampung Sungai Mulia, PPR Sri Langkawi dan Taman Melati telah dikunjungi untuk menyampaikan bantuan.

Sumbangan disampaikan oleh wakil IMProf, Ir Awangku Alizul, wakil Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera, Mohamad Asri, wakil Jabatan Amal Malaysia Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Mohd Abdul Hadi serta wakil MPPWP WM, Azmi Yusof.

Sumbangan masih boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12113010071315 atas nama PERTUBUHAN KEBAJIKAN MAJU SEJAHTERA – HARAKAHDAILY 10/11/2020