Budayakan norma baharu dalam kehidupan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pembudayaan norma baharu mesti diterima menjadi sebahagian kehidupan di era ini dalam mendepani cabaran COVID-19 yang merisikokan kepada nyawa dan kesan pada banyak aspek penghuni dunia.

- Advertisement -

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, COVID-19 masih menjadi isu hangat di seluruh dunia dengan bilangan kematian yang terus meningkat, namun kehidupan mesti diteruskan dalam arus memerangi pendemik ini.

Beliau berucap dalam program ‘Sepakat@Komuniti Membudayakan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19’ anjuran Jabatan Penerangan Pahang Kompleks Dagangan Mahkota Kuantan, di sini kelmarin.

Dalam ucapan itu, beliau menyingkap kembali perkembangan COVID-19 di seluruh dunia yang telah menelan jutaan nyawa manusia, tetapi masih belum ditemui penawarnya sehingga ke hari ini.

Menurutnya lagi, setelah hampir setahun COVID-19 berlarutan, maka satu tindakan bagi mengatasi masalah ini dengan kaedah norma-norma baharu perlu diamalkan oleh seluruh masyarakat negara ini dan warga dunia.

“Face mask perlu ada sentiasa bersama kita, ini benda baru bukan setakat takut kena saman, tapi ini untuk jaga kita dan melindungi orang di sekeliling kita,” ujar beliau.

Andansura mengharapkan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan supaya ianya menjadi sebahagian usaha untuk mengawal jangkitan agar pendemik COVID-19 ini dapat segera disekat.

Beliau melahirkan rasa bersyukur kerana negeri Pahang masih berada di dalam Zon Hijau, hasil dari disiplin oleh rakyat ditambah dengan komitmen pihak ‘frontliners’ dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita mampu mengamal dan kita harap dan berdoa agar kita dapat duduk dalam keadaan begini dan seterusnya dapat keluar dari kemelut yang kita sedang hadapi hari ini,” katanya lagi.

Beliau juga mengharapkan agar rakyat di negeri-negeri lain juga dapat bersama berusaha dan memberi kerjasama untuk memulihkan keadaan yang berlaku sekarang ini.

“50 juta dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia. Dari 50 juta, 1.5 juta nyawa hilang, masih ada hampir 900,000 lagi dalam keadaan kritikal. Di Malaysia hampir 300 angka kematian dan masih ada lagi dalam keadaan yang kritikal, berada di ICU,” sambungnya lagi.

Berikutan dari angka tersebut, beliau mengatakan rakyat perlu mengambilnya sebagai satu pengajaran dan memberi perhatian yang serius di mana setiap diri perlu memainkan peranan masing-masing.

Andansura menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap ahli masyarakat bersama membantu pimpinan negeri, agensi-agensi kerajaan seperti Polis, Jabatan Kesihatan dan ‘frontliners’ berusaha keras untuk mengamalkan Pembudayaan Baharu.

“Kerja kita hanya patuh saja, jangan cari alasan dan jangan beratkan kerja-kerja ‘frontliners’,” tegasnya lagi.

Beliau juga menyeru agar masyarakat tidak menambah beban kepada pihak Polis dalam usaha mereka untuk mengawal keadaan hingga terpaksa mengambil tindakan undang-undang kepada yang ingkar mematuhi arahan.

Andansura merakamkan tahniah kepada Jabatan Penerangan Pahang, Jabatan Penerangan Daerah Kuantan, bersama dengan Jabatan Kesihatan, JPolis, NGO-NGO dari Helwa Care dan Women Institution yang telah berjaya menganjurkan program ini.

Beliau mengharapkan agar program seperti  ini dapat diperluaskan ke seluruh Pahang, ke setiap Parlimen, Daerah, malahan ke  peringkat kepimpinan kecil masyarakat iaitu JKKK, jawatankuasa  masjid, surau atau institusi lain supaya mereka juga menjadi ‘frontliners’.

“Mereka juga perlu dilibatkan sebagai ‘frontliners’ kerana merekalah yang mampu untuk mengawal keadaan yang kecil, dan boleh membantu ‘frontliners’ kita yang lebih besar,” tambahnya lagi.

Beliau juga mengharapkan agar pengetahuan mengenai membudayakan norma baharu ini dapat diperlebarluaskan lagi ke tempat lain agar semua orang dapat menjalankan tugas masing-masing. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -