BENTONG: Menurut laporan sebuah akhbar arus perdana pada Mei 2019, peneroka FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah rancangan diusahakan sejak lebih 60 tahun lalu kerana wujud sekatan perundangan berkaitan.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid berkata, ini berlaku kerana FELDA tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967.
Sekali gus menurutnya, menyebabkan status tersebut berbeza dengan tanah biasa di bawah Kanun Tanah Negara yang bermakna juga menghalang sebarang pindah milik harta terbabit kepada generasi kedua FELDA.
Dijelaskan, sekatan dalam aspek perundangan itu menyebabkan tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat yang sah boleh dilakukan ke atas tanah itu, melainkan dengan persetujuan bertulis FELDA.
Menurut Rohayu, ketika ini sekiranya peneroka meninggal dunia, hanya dua waris boleh dilantik sebagai pentadbir untuk menguruskan harta berkenaan, tetapi status mereka bukan pemilik aset terbabit.
“Status pentadbir ini tidak sama dengan pemilik tanah. Peranannya hanya mengurus harta berkenaan secara saksama di antara waris. Maksudnya hasil yang diperoleh wajib diagihkan kepada waris lain mengikut bahagian dipersetujui sama ada melalui sistem faraid atau muafakat.
“Segala transaksi membabitkan tanah rancangan juga tertakluk kebenaran FELDA. Keadaan ini membimbangkan kerana tidak ada jaminan bahawa tanah berkenaan akan kekal milik generasi keluarga FELDA dan hak waris hanya sebagai pentadbir, tidak sama seperti pemilik tanah,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Mad Esa turut memberi pandangan beliau terhadap kemelut melanda anak-anak generasi FELDA di seluruh negara termasuk di FELDA Lurah Bilut khususnya.
“Jika kita rujuk kepada ‘Buku Dasar-dasar FELDA’, ada tiga cara FELDA boleh guna dalam isu pemilikan rumah generasi kedua. Pertama, kaedah sewa beli, kedua beli secara tunai dan ketiga pinjaman dengan pihak bank atau mana-mana institusi kewangan.
“Malangnya, FELDA hanya beramal dengan cara ketiga sahaja iaitu pinjaman dengan pihak bank. Ini menyukarkan anak-anak peneroka yang hanya kerja kampung dan tiada pendapatan tetap,” kesali beliau.
Menurut Roslan, akan timbul masalah besar ketika peneroka mahu membuat pinjaman bank untuk membeli rumah kerana ketiadaan slip gaji akan membuatkan permohonan peneroka ditolak oleh institusi kewangan
“Ramai peneroka khususnya generasi baru FELDA datang kepada saya dan mengadu masalah ini. Mereka mohon agar FELDA dapat mengkaji semula dan melonggarkan syarat-syarat pemilikan rumah generasi kedua yang kini agak ketat dan kurang mesra generasi muda golongan luar bandar.
“Dengan ‘political will’ yang ada, NGO GENERASI bertekad untuk membela nasib anak peneroka tanpa ‘pilih bulu’, semua kaum kita akan bela. Dalam kes FELDA Lurah Bilut ini sepatutnya generasi baharu di sana sudah mendapat rumah lebih awal kerana ia FELDA pertama di Malaysia dan dunia.
“Kita meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada Pengerusi FELDA yang baru, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut perumahan generasi baharu FELDA secara bijaksana,” harap Roslan.
Baru-baru ini ketika sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan 2020, satu memorandum persefahaman (MoU) kolaborasi antara FELDA dan Agrobank telah dimeterai bagi membantu generasi baharu FELDA memiliki rumah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, AgroBank telah bersetuju bekerjasama dan memberikan kelonggaran syarat pinjaman di samping menawarkan kadar faedah lebih rendah kepada pemohon yang layak.
Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga 110 peratus, dengan pembiayaan pada kadar asas tambah 1 peratus setahun yang secara tidak langsung membuka peluang untuk lebih ramai peneroka FELDA.
Skim Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) itu dilihat bakal membantu kalangan anak-anak generasi FELDA yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan untuk memiliki rumah.
Ketika ini, 40 peratus daripada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara adalah peneroka asal dan daripada jumlah itu, hampir 79,000 adalah generasi kedua dan ketiga FELDA. – HARAKAHDAILY 10/11/2020