Belanjawan 2021 peningkatan 8.56 peratus

Gambar sekadar hiasan - Foto FB Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengarah Operasi Syarikat Pembangunan dan Penyelenggaraan Hospital Asia Tenggara, Badzli Bakar (gambar) berkata, secara keseluruhan Belanjawan 2021 mengalami peningkatan sekitar 8.56 peratus berbanding pada tahun 2020 daripada sebanyak RM297 bilion kepada RM322.5 bilion.

Beliau berkata, melihat kepada belanjawan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak terlalu signifikan dengan kenaikan keseluruhan Belanjawan 2021 iaitu sekitar 4.25 peratus daripada tahun 2020 sekitar RM30.6 bilion meningkat sehingga RM31.9 bilion iaitu sekitar 4.25 peratus.

- Advertisement -

Katanya, peruntukan khusus bagi Covid-19 sebanyak RM17 bilion merupakan penambahan yang tidak signifikan kepada KKM secara keseluruhannya, namun terdapat penambahan peruntukan semasa Covid-19 iaitu sebanyak RM17 bilion ringgit.

Badzli berkata, terdapat pelbagai kelebihan kepada kakitangan KKM seperti pertambahan one-off sebanyak RM500 yang mana akan dimanfaatkan oleh hampir 100,000 kakitangannya.

Bagaimanapun katanya, KKM juga telah memberi bayaran tambahan sebanyak RM600 setiap bulan kepada sebahagian petugas KKM yang terlibat secara langsung dalam mendepani Covid-19 sejak Mac yang lalu.

Ujarnya, antara kakitangan KKM yang terlibat turut mendapat manfaat berkenaan sejak Mac tahun ini adalah yang terlibat dengan kerja-kerja seperti mengambil sampel, triage dan yang langsung terlibat dengan Covid-19.

Badzli Bakar

Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di bawah Vaccine Global Access (COVAX) yang dianggarkan bernilai sebanyak RM3 bilion.

Selain itu katanya, Belanjawan 2021 turut memberi penekanan kepada program kesihatan mental dengan peruntukan sebanyak RM24 juta bagi mengukuhkan program berkenaan.

Dalam pada itu, belanjawan ini dilihat memberi kelebihan kepada rakyat khususnya dalam kesihatan rakyat seperti memberi pelepasan cukai untuk vaksinasi sehingga RM1000 untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000 dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Sebagai tambahan juga, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 ia merupakan manfaat langsung kepada rakyat yang membayar cukai.

Namun begitu kata Badzli, terdapat sedikit keraguan berkenaan perolehan perbekalan sekitar RM475 juta ringgit untuk kit saringan diberikan kepada beberapa syarikat.

Apatah lagi katanya ketiga-tiga syarikat berkenaan tidak terlibat secara langsung dalam pembelian atau perniagaan sektor kesihatan.

Persoalannya kata Badzli mengapa syarikat berkenaan turut diberi tanggungjawab untuk membuat pembelian kit saringan.

“(Dalam hal ini) kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan kit saringan berkenaan kepada syarikat Bumiputera sebagai contoh GLC atau GILC yang terlibat langsung di dalam perolehan kesihatan kerajaan,” ujar Badzli kepada Harakahdaily.

Beliau berharap agar kerajaan dapat memusatkan sumbangan-sumbangan Covid-19 khususnya untuk kesihatan seperti ventilator, defibrator, patient monitors, yang mana didapati sebahagian penyumbang menyumbang kepada hospital barangan yang tidak boleh digunakan dan tidak mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh Medical Device Authority (MDA).

Malah katanya, barangan dalam bentuk sumbangan itu dianggarkan nilainya hampir mencecah RM500 juta terpaksa lupuskan dan merugikan sumber.

Beliau juga berharap agar kerajaan boleh mencadangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk melihat apakah ada ketirisan dan anasir kurang sihat dalam proses pembelian barangan sumbangan korporat ini.

Walau bagaimanapun, beliau turut memuji tindakan Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang mana sebayak 10 ventilator yang disumbangkan kepada KKM adalah mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh KKM berbanding sebahagian syarikat lain yang menyumbang tidak menepati ketetapan yang diingini oleh KKM.

Perkara ini penting katanya, kerana ia dapat menjejaskan kesihatan pesakit, yang boleh memberi kesan yang buruk kepada pesakit yang dirawat. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -