Belanjawan 2021: Apa kata mereka?

Gambar sekadar hiasan - Foto FB Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Advertisement -

RATA-rata bersetuju, perangkaan Belanjawan 2021 pastinya lebih rumit dan mencabar berikutan situasi hari ini yang mendesak kerajaan meletakkan fokus kepada dua perkara penting, iaitu ekonomi dan kesihatan.

Bagaimanapun, dengan ketekunan dan matlamat yang jelas, kerajaan berjaya membentangkannya tanpa mengabaikan mana-mana aspek melalui strategi 6R, iaitu Reslove, Resilience, Restart, Recovery, Revitalize dan Reform.

- Advertisement -

Mana tidaknya, buat pertama kalinya belanjawan dirangka dengan mengadakan siri jelajah dan sesi konsultasi ke seluruh negara merentasi 14 buah negeri, melalui lebih 38 sesi dialog melibatkan lebih 40 bidang perniagaan dan perusahaan.

Namun, bagaimana pula pandangan pakar-pakar ekonomi? Adakah dakwaan kerajaan mengenai Belanjawan 2021 selari dengan pendapat mereka?

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpendapat bahawa jumlah yang diperuntukkan kerajaan dalam belanjawan kali ini adalah memadai dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus tahun hadapan.

Namun, situasinya sukar untuk diramal memandangkan keadaan boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa yang berada di luar jangkaan seperti jumlah jangkitan pandemik dan tindak balas kerajaan terhadapnya.

Ia termasuk seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau bentuk PKP berbeza di kawasan tertentu, keadaan ekonomi dan perdagangan global dan kesan keputusan Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS).

“Jadi, sebagai kerajaan prihatin, bagi saya ketika ini Belanjawan 2021 pada dasarnya, dengan perbelanjaan yang tertinggi dalam sejarah mencukupi untuk merangsang ekonomi negara pada tahun depan dengan dijangka pemulihan berbentuk V.

“Sama ada ia mencukupi untuk mengurangkan beban rakyat pula adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) supaya segala bantuan dan insentif yang diberikan benar-benar sampai kepada pihak disasarkan.

“Ia juga bergantung sejauh mana kita dan dunia dapat membendung penularan Covid-19 pada masa depan,” ujarnya dalam sesi temu ramah bersama Berita Harian baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Dato’ Abd Aziz Abu Bakar ketika ditanya mengenai pendapat beliau berhubung belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan baru-baru ini berpendapat bahawa teks ucapan belanjawan kali ini lebih mudah difahami.

Hal ini kerana ia disusun rapi dan sistematik bermula daripada mukadimah, Strategi 6R, Tiga Matlamat Induk Belanjawan, strategi bagi mencapai setiap matlamat induk dan langkah yang perlu diambil dan dilaksanakan sehingga penutup ucapan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun kata Abd Aziz, sekiranya ditambah satu lagi matlamat induk, iaitu ‘Menjamin dan Memastikan Ketahanan dan Kelangsungan Negara’ yang berkait rapat, khususnya dengan kedudukan kewangan negara, ia menjadi lebih lengkap.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2021 adalah belanjawan berhemah dan perlu digubal kerajaan bagi menyelamat, melindungi, memulih dan menjamin kesejahteraan rakyat dan masyarakat perniagaan walaupun kerajaan perlu berkorban dengan kedudukan fiskal dan kewangannya, ujarnya dalam satu temu ramah bersama Berita Harian.

Tambah Abd Aziz, beliau berharap Belanjawan 2021 dapat dibahas secara rasional di Dewan Rakyat dengan matlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, ketahanan ekonomi dan juga kestabilan kedudukan fiskal dan kewangan negara.

Selain itu, Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bahawa Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan merupakan satu usaha kerajaan untuk mengimbangi permintaan rakyat dan keperluan untuk merangsang ekonomi domestik.

Katanya, ternyata kerajaan mengambil jalan tengah dalam hal ini. Dari satu segi, pengeluaran Akaun 1 KWSP dan moratorium bersasar menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengambil kira kesusahan yang dihadapi rakyat.

Dari satu segi lain pula, keperluan untuk merangsang ekonomi domestik dizahirkan melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan tinggi, iaitu sebanyak RM69 bilion pada 2021 berbanding RM50 bilion pada tahun ini.

Perkara ini kata Mohd Afzanizam, seiring dengan peningkatan ketara dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pembinaan, iaitu sebanyak 13.9 peratus pada 2021 setelah menguncup sebanyak 18.7 peratus pada tahun ini.

Tambah beliau, kerajaan juga menyatakan sejumlah RM15 bilion akan dibelanjakan untuk melaksana projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo (LPB), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) dan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) serta pelbagai projek berimpak tinggi.

Secara keseluruhan, kerajaan sedang meletakkan keutamaan tepat, iaitu memerangi wabak Covid-19 sebagai perkara pokok dan pada masa sama cuba memastikan mereka yang terkesan dari sudut ekonomi menerima bantuan selayaknya.

Beliau menyimpulkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menangani ekonomi yang sedang dilanda badai Covid-19.

Segala perancangan telah pun dikemukakan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan untuk merangsang kegiatan ekonomi.

Tidak dinafikan angka defisit sememangnya terbesar dalam sejarah dan ia menunjukkan keseriusan permasalahan yang dihadapi. Satu nyawa terkorban sudah terlalu banyak untuk kita hadapi.

Justeru, suatu muafakat jitu bagi meraikan cadangan belanjawan dibentang adalah penting bagi kelangsungan masyarakat umum di Malaysia tercinta ini, ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -