PKPB: Kedah benarkan aktiviti keagamaan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Kedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang bermula esok sehingga 6 Dis, adalah dibenarkan dengan beberapa syarat.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Mohd Yusri Md Daud dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan bahawa bagaimanapun, semua masjid dan surau hanya akan dibuka sejam sebelum waktu solat fardu dan sejam setengah sebelum waktu solat Jumaat.

“Bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah dibenarkan berdasarkan keluasan ruang utama masjid dan surau dengan menjaga jarak fizikal minimum satu meter manakala bagi zon merah, hanya 40 orang dibenarkan bagi solat Jumaat dan maksimum 12 orang bagi solat fardu.

“Pihak masjid dan surau perlu sediakan kaunter pemeriksaan, alat pengukur suhu, cecair sanitasi, buku log kehadiran dan penanda kedudukan antara jemaah. Bagi jemaah yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas dan sakit tekak, mereka tidak boleh dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata setelah selesai menunaikan solat, pihak pengurusan perlu terus menutup masjid dan surau serta jemaah tidak dibenarkan berkumpul sama ada di dalam atau luar kawasan premis ibadat itu.
 
Mohd Yusri juga berkata program keagamaan dan majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, kelas agama dan tazkirah masih dibenarkan namun tidak boleh melebihi tempoh 30 minit dengan mematuhi normal baharu serta protokol kesihatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Program berskala besar tidak dibenarkan manakala aktiviti pengurusan jenazah di masjid yang tidak melibatkan COVID-19 dibenarkan dan solat jenazah hanya terhad kepada pegawai, ahli jawatankuasa masjid dan keluarga sahaja.

“Semua institusi masjid dan surau serta anak kariah di negeri Kedah diminta mematuhi arahan pelaksanaan aktiviti keagamaan dalam tempoh PKPB ini dan jika gagal, tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -