Muafakat Nasional Ledang beri sumbangan Deepavali

- Advertisement -

LEDANG: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kawasan Ledang bersama Umno dan MIC Bahagian Ledang telah menganjurkan majlis penyerahan sumbangan sempena perayaan Deepavali.

- Advertisement -

Sumbangan kepada 30 keluarga penerima dalam kalangan penduduk kaum India beragama Hindu ini telah diadakan di Taman Tangkak Jaya serta Kampung Payamas, di sini semalam.

Menurut Ketua DHPP Ledang, Purusothaman Selladorai, sumbangan  berupa barangan keperluan harian ini bertujuan meringankan bebanan mereka bersempena Deepavali tidak lama lagi.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Rusman Kemin dan Ketua Umno Ledang, Dato’ Ir. Hamin Samuri serta Penyelaras DUN Tangkak, RT Rajasekaran.

Juga Ahli Majlis Daerah Tangkak, Rosmizan Ismail dan Yang Dipertua PAS Ledang, Azmi Ahmad serta Ketua Muslimat PAS Ledang, Ustazah Zainab Husin.

“Sumbangan ini menjadi bukti keprihatinan PAS dan Muafakat Nasional melangkaui status bangsa dan agama. Di kala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan penularan COVID-19 ini ramai yang susah.

“Ada rakyat yang hilang pekerjaan dan mata pencarian. Jadi sumbangan ini diharap dapat menambah keceriaan menyambut Deepavali,” ujar Rusman di dalam ucapan perasmiannya.

Majlis serba ringkas dan singkat tersebut telah dilaksanakan dengan mengikut sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -