Insentif khas penjawat awam Kelantan RM600

KOTA BHARU: Penjawat awam di Kelantan akan menerima insentif khas sebanyak RM600, manakala pegawai dan kakitangan lantikan pula sebanyak RM300.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penjawat awam negeri seramai 6,864 orang, dan lantikan politik pula 4,220 orang.

Advertisement

Katanya insentif khas itu termasuk juga akan dibayar kepada guru-guru pusat pengajian pondok.

“Selain itu kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM40 juta daripada bajet pembangunan negeri 2021 yang berjumlah RM479 juta bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid tahun depan.

“Peruntukan itu sebagai persediaan awal kerajaan negeri sekiranya rantaian Covid masih berterusan sehingga tahun depan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dun Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya juga peruntukan khas itu bagi membantu rakyat yang terjejas terutamanya melibatkan sektor yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) Kelantan.

Sektor terbabit termasuk perkhidmatan, pelancongan dan digital yang tidak disenaraikan pada belanjawan kerajaan persekutuan pada 2021.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang dilaksanakan kerajaan sekarang tentunya akan memberi impak besar dalam tempoh jangka panjang kepada pelbagai sektor terutamanya ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Menteri Besar juga berkata, sejak 2008 sehingga Ogos lepas kerajaan negeri menerima lebih RM400 juta daripada kerajaan persekutuan yang berkaitan royalti petroleum.

“Bagaimanapun untuk pengetahuan ahli-ahli dewan peruntukan yang diterima Pembendaharaan Negeri dalam bentuk tiga nama berbeza iaitu wang ihsan, bayaran tunai petroleum dan bayaran khas petroleum.

“Oleh itu kita minta kerajaan pusat menetapkan nama khusus bagi bayaran tersebut bagi mengelakkan kekeliruan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/11/2020