Bantuan program Rezeki Tani LKIM kepada nelayan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi telah menyempurnakan penyampaian bantuan peralatan di Pejabat LKIM Negeri Kelantan, Kota Bharu, di sini semalam.

Menurut beliau, program Rezeki Tani ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan peningkatan pendapatan yang dijenamakan semula daripada program Azam Tani di bawah MAFI.

Maklumnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat, pelaksanaan program Rezeki Tani dipertanggungjawab kepada semua Jabatan atau Agensi di bawah Kementerian dan ianya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sahaja.
 
“Program ini mensasarkan peserta yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) dalam kategori B40 yang berumur di antara 18 hingga 60 tahun.

“Calon peserta hendaklah dirujuk dalam sistem e-Kasih dan berstatus miskin tegar atau miskin atau terkeluar dalam sistem e-Kasih dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,614.00 (pendapatan per kapita tidak melebihi RM650.00).
 
“Keutamaan bantuan diberi kepada  KIR dan AIR yang berpengalaman, berkemahiran dan sedang menjalankan aktiviti berkaitan pertanian, penternakan, perikanan dan pemprosesan produk berasaskan pertanian.

“Jumlah bantuan maksimun bagi seorang peserta untuk program ini adalah sebanyak RM10,000,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan.
 
Difahamkan, program membantu meningkatkan pendapatan peserta melalui projek-projek ekonomi melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan.
 
Selain itu, ia juga mempertingkatkan pengeluaran, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan-latihan di bawah program Rezeki Tani dan latihan teknikal dan membantu mengeluarkan peserta daripada kemiskinan.

- Advertisement -

Kata Dato’ Che Abdullah lagi, tahun ini sahaja sehingga hujung Oktober lalu, MAFI menerusi program Rezeki Tani ini telah memberi peruntukan sebanyak RM540,000 kepada 54 peserta di seluruh negara.

Perinci beliau, secara pecahan skop penerima adalah tiga peserta dalam kategori pertanian dan perikanan (14), pemprosesan produk industri asas tani (9), jualan makanan dan minuman (22) dan pemasaran hasil tani (6).

Manakala untuk tempoh sama bagi negeri Kelantan sahaja ujarnya, pecahan skop adalah lapan peserta perikanan dan seorang peserta pemasaran hasil tani dengan jumlah peruntukan RM90,000.

Program semalam adalah khusus untuk para penerima dalam kalangan nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -