Rumah untuk generasi kedua Felda

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tanah seluas 100 ekar di Bandar Baru Dato’ Bentara di Gua Musang akan dibina rumah khusus bagi generasi kedua di Tanah Rancangan Felda dan Kesedar.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata cadangan tersebut dilaksanakan untuk mengatasi masalah kekurangan rumah bagi golongan terbabit.

- Advertisement -

“Cuma unit belum diperincikan, dan dalam proses untuk memuktamadkan pelan terperinci kepada pembangunan ini, kita jangka pembangunan bandar baru ini akan dimulakan tahun depan.

“Keperluan tapak kediaman merupakan isu utama bagi generasi kedua Felda dan Kesedar di Gua Musang, kita memberikan perhatian utama kepada perkara ini bersama-sama dua agensi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Amran Arifin [Umno-Paloh] pada persidangan kali ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pagi tadi.

Mohd Amar [PAS-Panchor] turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut memperuntukan 100 ekar Bandar Baru Dato’ Bentara kepada Kelab Kebajikan Rangkaian Veteran dan Bekas Angkatan Tentera (KERABAT).

Bagi menjaga kebajikan generasi kedua juga, katanya kerajaan negeri sebelum ini melancarkan pusat pertumbuhan baru di daerah tersebut yang dinamakan Bandar Baru Ciku.

Projek yang meliputi kawasan seluas 104 ekar itu jelas beliau mengandungi komponen pembangunan seperti bangunan komersil dan juga kemudahan asas yang lain.

“Kita merangka untuk membangunkan rumah dengan pelbagai kategori keseluruhannya berjumlah 1,016 unit rumah teres kos rendah, teres mampu milik, teres satu tingkat dan sebagainya.

“Kita jangka projek ini akan siap dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -