Pelihara ukhuwah dengan ziarah

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

TANAH MERAH: Budaya hidup masyarakat Kelantan yang suka ziarah tanpa mengira bangsa sejak sekian lama mesti dipelihara sampai bila-bila.

Malah sikap tersebut juga perlu diterjemahkan di peringkat nasional bagi memelihara ikatan ukhuwah antara satu sama lain.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Tanah Merah, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, sikap berkenaan wujud pada masyarakat Kelantan tanpa mengira agama, bangsa dan adat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian bakul Deepavali pada Majlis Ramah Mesra Sempena Perayaan Deepavali, Peringkat Dun Gual Ipoh, dekat Ladang Kerilla, Tanah Merah, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Penyelia Dun Gual Ipoh, Razali Yusof dan Penolong Setiausaha PAS Kawasan, Mohd Kassim Mohd Noor.

Seramai 85 orang telah menerima sumbangan dan sebahagiannya dihantar dari rumah ke rumah.

“Hapuskan sifat berbangsa, sebaliknya segarkan semula semangat orang Kelantan untuk bangunkan sifat ini sebagaimana yang telah dihidupkan oleh orang tua terdahulu.

“Bukan taksub Kelantan, tetapi sifat orang kita itu sendiri yang dibina orang tua terdahulu membuatkan mereka rasa bertanggungjawab antara satu sama lain,”ujarnya.

Tambah Abdul Fattah, almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri sering menyebut walaupun berbangsa lain mereka seumpama sejuta pupu. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -