Kawasan Flat Kampung Sireh dimajukan tahun depan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan mengarahkan anak syarikatnya, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memajukan kawasan Flat Kampung Sireh di sini bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan kesihatan, Dr Izani Husin [PAS-Kijang] berkata, sehingga kini seramai 22 keluarga masih lagi menghuni di kediaman tersebut dan terdapat lapan orang peniaga.

- Advertisement -

Kerajaan negeri juga sudah membuat rayuan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelesaikan masalah penduduk terbabit yang tidak mahu berpindah.

“Namun rayuan ini ditolak kerana tidak cukup syarat yang dikemukakan untuk ditempatkan di PPR Wakaf Mek Zainab antaranya kahwin campur dengan warga asing.

“Kita sedang berunding untuk memberi sewa untuk tempoh seketika dan kemudian dia terpaksa meneruskan sendiri, ini antara usaha kita untuk selesaikan masalah ini,” kata Izani.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Dato’ Dr. Ramli Mamat [PAS-Bunut Payong] pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini pagi tadi.

Pembangunan terbabit merangkumi kategori seperti apartment, unit kedai, medan selera dan tempat parkir kereta bagi menggantikan flat yang uzur dan terbiar itu.

Izani berkata, pembangunan itu akan mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah dengan menawarkan pasaran terbuka dengan harga bermula RM350,000. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -