Fiqh Aqalliyyat: Mencermati situasi Muslim di Perancis

- Advertisement -

SETIAP tempat memiliki senario yang berbeza-beza. Hal tersebut termasuklah dalam memahami situasi Islamofobia yang kelihatan selari dengan ideologi Negara Perancis.

Tekanan-tekanan yang dihadapi oleh muslim di Perancis, perlu diurus dengan cermat. Yang pasti, realiti mereka di sana tidak sama dengan kita di sini. Maka ilmu yang tepat untuk berinteraksi dengan permasalahan sedemikian, adalah ilmu Fiqh Aqalliyyat.

- Advertisement -

Fiqh Minoriti

Fiqh Aqalliyyat boleh difahami sebagai Fiqh Minoriti. Ia juga dikenali sebagai Fiqh Mughtaribin yang sesuai diaplikasikan dalam situasi sukar untuk mengamalkan Islam kerana mereka dikenali sebagai pendatang, tidak memiliki angka majoriti dan berada di negara yang dasar-dasarnya tidak mesra Islam.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menulis kitabnya yang berjudul Fi Fiqh al-Aqalliyyat al-Muslimah. Kitab yang mula dicetak pada tahun 2001 itu sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan Muslim di negara-negara Barat. 

Antara Maqasid Fiqh Aqalliyyat seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah:

(1) Menghidupkan gaya hidup Islam dengan dengan cara yang mudah, sesuai dengan kondisi negara.

(2) Memanfaatkan peluang yang ada sekalipun pada kadar minima, untuk melangsungkan agenda dakwah secara berperingkat.

(3) Mencari ruang-ruang yang telah dijamin oleh perlembagaan negara, untuk mendapatkan hak-hak kebebasan beragama Islam tanpa ancaman dari penguasa.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi turut menegaskan bahawa Fiqh Aqalliyyat merupakan sebahagian dari usaha tajdid para ilmuwan, untuk memenuhi keperluan umat di negara-negara Barat. Dalam mengemukakan konsep-konsep terkini, aplikasi Fiqh Aqalliyyat tidak akan lari dari dasar-dasar Turath Islam.

Realiti Muslim di Perancis

Dalam tulisan yang lalu, saya telah jelaskan berkenaan ideologi Sekular bergaris keras Perancis. Kita telah sedia maklum akan siri-siri provokasi ke atas umat Islam yang dilancarkan oleh majalah satira Charlie Hebdo sejak dari dahulu.

Tetapi setelah meneliti respon dari organisasi-organisasi orang Islam yang turut mewakili badan-badan masjid di Perancis seumpama FNEM (Federation Nationale de I’Enseignement Prive Musulman), ACMM Montfermeil, MF (Musulmans de France) & LES Musulmans, rata-rata mereka menunjukkan simpati kepada guru yang telah dipenggal kerana memaparkan kartun yang menghina Nabi. Aneh bukan?

Dalam situasi seperti ini, kita dapat memahami bahawa umat Islam di Perancis sedang bergelut dengan Islamofobia. Propaganda itu berusaha untuk menyeragamkan tanggapan kononnya Islam adalah agama ganas yang akan mendorong penganutnya menjadi pengganas lalu mengancam keselamatan rakyat.

Maka atas pertimbangan itulah, sebarang tindakan yang disifatkan sebagai radikal menurut kaca mata masyarakat Sivil, akan dianggap sebagai pengganggu kepada usaha umat Islam di sana dalam misi mereka memulihkan imej Islam yang selama ini menjadi mangsa dakyah Islamofobia. Bahkan tindakan sedemikian hanya membenarkan tuduhan-tuduhan buruk ke atas Islam.

Fasa Makkiyyah

Hakikatnya umat Islam di negara-negara Barat masih berada dalam kondisi minoriti. Dalam keadaan sedemikian, cara yang terbaik adalah dengan menunjukkan tingkah laku persis fasa dakwah Nabi ketika masih berada di Makkah.

Fasa Makkiyyah, Allah belum mengizinkan tindak balas yang membabitkan pertumpahan darah. Realitinya ketika itu umat Islam belum memiliki kekuasaan politik dan ketenteraan.

Apa yang perlu adalah bersabar dan bersabar dengan siri-siri provokasi yang dilancarkan. Sekalipun ada dalam kalangan para Sahabat yang terkorban diseksa.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, kini umat Islam di Barat sedang bergelut dengan fasa tafa’ul. Iaitu menawarkan interaksi-interaksi yang baik dengan masyarakat Barat. 

Pada masa yang sama mereka perlu menjaga survival pusat-pusat aktiviti dakwah, agar dijamin oleh undang-undang. Di situlah usaha ilmu, pendidikan dan dakwah berlangsung.

Tragedi pembunuhan baru-baru ini ternyata mengganggu perkembangan strategik yang telah disebutkan di atas. Implikasinya, masjid-masjid dan kegiatan-kegiatan dakwah diarah untuk dibekukan. Maka ia amat memberi kesan kepada kelangsungan dakwah di sana.

Justeru adalah silap jika kita qiaskan sejarah-sejarah ketika Islam telah memiliki empayar kekuasaan, dengan realiti umat Islam yang masih minoriti di Perancis. Cara berfikir sedemikian juga menggambarkan kegopohan dalam menilai. Lalu menatijahkan fitnah ke atas umat Islam sendiri, sedangkan realitinya mereka belum cukup kuat.

Mendepani masyarakat yang jahil

Pertimbangan-pertimbangan yang disebutkan dalam tulisan ini, bukanlah ditujukan kepada pembuat-pembuat dasar negara Barat yang kita telah sedia maklum bahawa mereka bias membenci Islam. Sebaliknya kita perlu cermat membezakan antara mereka, dengan masyarakat biasa Barat yang telah sekian lama jahil dan disuap dengan propaganda-propaganda Islamofobia.

Tipikal masyarakat Barat, mereka agak terbuka dalam berdialog dan mudah tertarik dengan nilai-nilai kehidupan yang baik. Maka disebabkan itu, umat Islam di Negara Barat amat mementingkan soal persembahan akhlak yang baik dan berpartisipasi dalam sesi-sesi dialog sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kaedah seperti itu jugalah yang diusahakan oleh Nabi ketika masih berada di fasa Makkiyyah. Sebenarnya, sikap-sikap ekstrem Liberal yang liar menghina agama-agama di Perancis, hakikatnya bercanggah dengan falsafah moral mereka sendiri.

Emmanuel Kant ada mengulas berkenaan dasar kebebasan yang menjadi antara teras kepada konsep Liberal. Beliau mengemukakan konsep ‘Categorical Imperative‘. Iaitu jika kita tidak suka orang melakukan keburukan ke atas kita, maka kita pun jangan melakukan keburukan ke atas orang lain.

Dalam kes yang berkaitan, jika mereka tidak suka kepercayaan mereka dipersendakan, maka janganlah hina agama orang lain. Itulah nilai kebebasan yang perlu mereka sedar.

Tetapi nampaknya nilai tersebut gagal dijunjung oleh puak-puak Liberalis Perancis, menyebabkan mereka cenderung untuk bersikap liar terhadap agama tanpa mempedulikan sensitiviti orang lain. Logik ini merupakan sempadan kebebasan yang diperbahaskan oleh Kant.

Umat Islam perlu bertahan di sana

Jika kita inginkan kesimpulan mudah, maka adalah lebih baik bagi umat Islam di Perancis untuk berpindah meninggalkan negara Liberal-Sekular bergaris keras tersebut. Bahkan ‘escapisme’ seperti itu juga didukung oleh pandangan-pandangan ulamak silam yang menyatakan hukum wajib bagi umat Islam yang terancam di negara musuh, untuk segera berhijrah keluar mencari negara yang mesra Islam.

Namun realiti zaman hari ini dengan konsep sempadan negara dan prosedur kewarganegaraan, memerlukan pandangan semasa yang lebih realistik. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan betapa perlu umat Islam di negara-negara Barat agar bertahan untuk kekal bermastautin di sana.

Antara alasannya adalah, demi memberi pengaruh mengikut kadar kemampuan yang ada kepada polisi-polisi Negara Barat, yang hari ini sedang menguasai dunia. Kita tidak boleh berikan laluan selesa kepada elitis Yahudi untuk terus melobi negara-negara Barat tanpa sebarang persaingan.

Hari ini, Perancis memandang industri halal sebagai salah satu dari pendapatan negara yang tidak boleh dikesampingkan. Popularitinya semakin melonjak. Selain memenuhi keperluan umat Islam yang bermastautin di Perancis, ia juga dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar Muslim yang merantau ke sana.

Bahkan dengan kewujudan umat Islam di Negara Barat, membolehkan usaha-usaha dakwah dibenihkan. Walaupun perkembangannya dilihat perlahan, namun ia tetap wujud. Jika dilihat dari sejarah, begitu jugalah usaha-usaha dakwah berkembang ke serata pelosok dunia.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
8 November 2020 – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -