Empangan Hidroelektrik Nenggiri bakal beri pulangan RM10 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan mendapat pulangan lebih RM10 juta setahun dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri.

Malah kata Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, projek berkenaan dijangka merancakkan lagi eko-pelancongan, pertanian, akuakultur serta mampu mengatasi masalah banjir di negeri itu.

- Advertisement -

Beliau juga menjangkakan pendapatan kerajaan negeri akan terus meningkat dengan peningkatan sektor-sektor terbabit.

“Hidroelektrik ini akan digunakan sebagai tebatan banjir, bekalan air untuk pengairan dan pertanian, eko-pelancongan, akuakultur dan ini antara komponen besar akan kita perolehi.

“Selain hasil yang ada sekarang kita boleh mengeluarkan kayu balak yang ada dan jika ada dapat keluarkan mineral pada kawasan seluas 5,384 hektar ini sebelum Mac 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan kali yang ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal yang ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Dato Md Alwi Che Ahmad berkata, kerajaan negeri akan kehilangan salah satu sumber pendapatannya jika empangan itu dilaksanakan.

Malah kata beliau lagi, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai sebuah empangan yang akan mengorbankan sumber pendapatan negeri iaitu hasil hutan dan mineral.

“Hendak buat empangan ini bukan satu dua juta nilainya tetapi ia memerlukan ratusan juta dan memerlukan kerjasama kerajaan pusat, itu fakta yang rakyat kena tahu.

“Apabila kita ada sebuah empangan tentulah banyak kawasan akan terjejas termasuk sumber pendapatan kepada kerajaan negeri seperti balak dan bahan mineral,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -