Ahli Parlimen tidak makan gaji buta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen tidak makan ‘gaji buta’ meskipun hanya 80 orang yang dibenarkan masuk ke dewan persidangan dalam satu-satu masa.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Dato’ Seri Annuar Musa berkata, semua ahli Parlimen mesti hadir ke persidangan Parlimen, namun secara bergilir-gilir.

- Advertisement -

Menurutnya, apa dimaksudkan 80 orang itu mereka yang berada dalam ruang yang disediakan pada satu-satu masa.

Dedahnya yang juga Menteri Wilayah bahawa keseluruhan kompleks Parlimen dipasang dengan sistem video.

Oleh itu kata Annuar apa sahaja yang berlaku dalam persidangan, boleh diikuti daripada luar.

“Oleh kerana ada syor dari pihak pakar supaya tidak terlalu ramai dalam satu masa satu tempat, maka itulah sebabnya dihadkan kepada 80 orang secara bergilir-gilir,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Malah katanya setiap ahli Parlimen diberi pas secara bergilir-gilir untuk berbahas dan bercakap manakala untuk mengundi semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke persidangan Dewan Rakyat.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan kepimpinan Umno negeri di Pejabat Umno Kelantan di sini.

Jadi kata Annuar tidak ada isu yang mengatakan ahli Parlimen makan gaji buta kerana semuanya perlu hadir cuma bergilir-gilir untuk berada di dalam ruang Dewan Rakyat.

“Ini yang patut dijelaskan supaya tidak timbul tanggapan dakwaan 80 orang sahaja ahli Parlimen yang bekerja sehingga mendakwa demokrasi sudah terancam sebab jumlah itu saja yang boleh bercakap dan sebagainya.

“Semua dakwaan itu tidak benar, 222 ahli Parlimen perlu berada di Parlimen setiap hari dan mereka boleh mengikuti semua perbahasan yang berjalan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan mengumumkan perkara tersebut selepas diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan koronavirus (Covid-19) dua hari lalu.

Beliau berkata, pecahan pembahagian yang ditentukan ialah 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -