RM2.7 bilion tambah baik infra luar bandar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar terus menjadi antara fokus utama kerajaan walaupun ketika berhadapan dengan situasi COVID-19 menerusi peruntukan sebanyak RM2.7 bilion bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikan infrastruktur luar bandar. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia meliputi peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi melaksanakan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer, dijangka memberi manfaat kepada lebih 290,000 penduduk.

- Advertisement -

“Sebanyak RM632 juta diperuntukkan bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 rumah. Sebanyak RM250 juta disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 1,100 buah rumah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM355 juta juga diperuntukkan bagi Program Bantuan Rumah kepada golongan miskin iaitu membina rumah baharu dan membaik pulih rumah, dengan sasaran sebanyak 15,000 rumah. 

Selain itu, sebanyak RM121 juta juga diperuntukkan bagi memasang 27,000 unit lampu serta menanggung kos operasi dan penyelenggaraan 500,000 unit lampu jalan kampung.  
 
Bagi Sabah dan Sarawak, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak di kedua-dua negeri itu seperti yang telah dilaksanan kerajaan negeri Sarawak. 

Langkah itu katanya, dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan.

Tengku Zafrul berkata had kelayakan penggunaan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) juga dibenarkan dinaikkan sehingga 20 peratus atau RM50 juta, yang mana lebih rendah bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan di luar skop biasa MARRIS. – BERNAMA

- Advertisement -