Majlis Pekerjaan Negara ditubuhkan, dipengerusikan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata majlis berkenaan akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.

“Agensi Laksana (Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,’’ katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

- Advertisement -

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bertujuan meningkatkan program kemahiran dan latihan semula dengan menumpukan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan pada tahun depan.

Katanya, menerusi program itu, RM150 juta akan diperuntuk bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu akan ditawarkan baucar bernilai RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta. 
 
Beliau berkata dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program itu.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta.

Peruntukan turut diberikan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM100 juta bertujuan mengisi keperluan tenaga kerja dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘’RM100 juta juga diberikan kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutamanya IRDA (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar) dan SEDIA (Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah), bertujuan melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja terjejas teruk akibat penutupan sempadan.

‘’Sebanyak RM30 juta pula diberi kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat) bagi program latihan kemahiran dan keusahawanan yang dijangka memanfaatkan 12,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),’’ katanya.
 
Beliau berkata bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badan-badan bertauliah, terhad kepada RM1,000 bagi setiap tahun taksiran.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memperkenalkan inisiatif Short-term Employment Programme atau MySTEP yang menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata menerusi program itu, kerajaan akan memperuntukkan lebih RM700 juta dan di bawah inisiatif tersebut, 35,000 pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam terutamanya membabitkan perjawatan seperti jururawat, atendan perubatan, pegawai kebajikan masyarakat serta guru sementara.

‘’Syarikat GLC pula akan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan,’’ katanya. – BERNAMA

- Advertisement -