Kerajaan fokus perangi Covid-19

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Jumaat lalu ternyata tidak mengabaikan pembangunan kesihatan negara, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Menurut beliau, perkara tersebut dapat diperhatikan melalui peruntukan yang disediakan untuk pembangunan vaksin Covid-19 termasuk program Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) yang dijangka bakal memanfaatkan rakyat sekitar pertengahan tahun hadapan yang dilakukan secara beransur.

Advertisement

Justeru itu, beliau berharap usaha pembangunan vaksin bagi wabak berjangkit Covid-19 berjaya walaupun memakan masa yang agak panjang, ujarnya dalam satu hantaran di Facebook Rasmi beliau, hari ini.

Tambah beliau, peruntukan yang disediakan untuk kesihatan dan kesejahteraan rakyat khususnya barisan hadapan juga adalah satu tindakan yang harus dipuji.

Ia boleh dilihat melalui peruntukan RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga Covid-19; pemberian one-off RM500 kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); kenaikan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak; serta peruntukan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental.

Kata beliau lagi, Belanjawan 2021 juga bersifat menyeluruh terutamanya kepada golongan B40 melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR); Program Jaringan Prihatin; had pengecualian cukai; bantuan kepada petani, nelayan dan peladang; bantuan elaun sara hidup; serta penubuhan Majlis Pekerjaan Negara.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif-inisiatif tersebut dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam situasi negara dan dunia ketika ini. – HARAKAHDAILY 7/11/2020