Kedah sambut baik PKPB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor melalui kenyataannya berkata, PKPB selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember turut melibatkan Kedah.

“Peningkatan semula kes positif Covid-19 kepada dua digit di Kedah sejak semalam amat menggusarkan.

“Justeru itu, PKPB yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan sebentar tadi sebagai langkah terbaik untuk terus mengekang wabak itu terus menular,” kata beliau berikutan pengumuman perintah kawalan berkenaan yang melibatkan semua negeri di Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

- Advertisement -

Berikutan itu beliau merayu agar rakyat Kedah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), elakkan berada tempat berisiko dan menangguhkan aktiviti ziarah menziarahi pada waktu ini.

Kata Sanusi lagi, siraturahim boleh terus dipereratkan menerusi panggilan video atau aplikasi media sosial yang pelbagai medium.

“Kita sedia maklum, setiap tindakan itu ada kesannya sama ada positif mahupun negatif.

Kerana itu, pematuhan SOP amat penting agar keadaan segera pulih dan ekonomi kita tidak terjejas lebih teruk,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/11/2020

- Advertisement -