Geran bantuan tarik minat anak muda – MAFI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bermula Januari sehingga Oktober 2020 terdapat seramai 15 orang penternak muda di bawah bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, telah diberi bantuan Geran Agroprenuer Muda yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI).

Menurut Timbalan II MAFI, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, dengan adanya bantuan geran berkenaan ia dapat menarik minat penternak muda di bawah usia 40 tahun untuk berkecimpung dalam sektor penternakan dan pertanian.

- Advertisement -

Katanya, bermula pada tahun 2016, penternakan arnab telah muncul kembali dengan nafas baharu bagi memenuhi permintaan masyarakat yang ingin merasai lebih banyak pilihan makanan.

Antara yang lain turut menjadi keistimewaan daging arnab mempunyai kadar protein dan serat halus yang tinggi serta rendah kolestrol berbanding ayam,lembu dan bebiri.
 
“Disokong geran dan pinjaman dari Agrobank, populasi dan penternak arnab sedang berkembang pesat seperti cendawan tumbuh di seluruh negara.

 “Pada tahun ini sahaja, kursus penternakan arnab telah dilaksanakan sebanyak 5 siri dan disertai seramai 250 orang telah dilatih oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak serta kursus secara bekerjasama dengan Persatuan dan Koperasi Arnab,” katanya.

Che Abdullah berucap demikian dalam program Perasmian Pusat Jualan Input Pertanian dan Penternakan FJ Trading, Pekan Langkap pada hari ini.

Pun begitu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya turut membantu penternak arnab di Negeri Perak dalam memberi ilmu melalui penganjuran kursus, bekalan peralatan, bengkel pemprosesan  arnab dan kandang untuk meningkatkan populasi arnab itu sendiri. – HARAKAHDAILY 7/11/2020

- Advertisement -