Belanjawan seimbang, fokus golongan memerlukan

- Advertisement -

KERAJAAN membentangkan Bajet 2021 yang menyeluruh sifatnya bagi menyeimbangkan tuntutan rakyat dan keperluan menjana ekonomi.

Bajet yang dibentangkan berdasar perspektif keseluruhan dasar fiskal dan keupayaan ekonomi negara dalam pada Malaysia terpaksa berdepan dengan badai Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi dan perdagangan global.

Bagi membendung penularan Covid-19 memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu iaitu selama hampir tiga bulan, diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual tamat pada penghujung Disember tahun ini.

Kelainan dalam Belanjawan 2021 kerajaan membelanjakan kepada tiga pecahan iaitu perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan dan kumpulan wang Covid-19.

Kumpulan Wang Covid-19 terletak di bawah Akta Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020).

Berikut adalah analisa ekonomi yang dapat Harakah simpulkan berdasarkan rujukan buku Tinjauan Fiskal 2021.

Dalam suasana kesan daripada pandemik Covid-19, kerajaan terpaksa memacu negara dengan mengambil pendekatan berfokus kepada strategi 6R iaitu Resolve (ketegasan), Resilient (ketahanan), Restart (memulakan semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (menyusun semula).

Ketika ini negara telah berada di fasa kelima yang mana kerajaan kekal fokus di fasa Restart ke fasa Recovery melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pelan Pemulihan bagi mendorong pertumbuhan negara.

Setakat ini, langkah fiskal dan bukan fiskal yang diambil kerajaan bernilai RM305 bilion atau sekitar 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah disuntik ke dalam ekonomi melalui inisiatif di bawah pakej rangsangan Prihatin, Prihatin PKS, Penjana dan Kita Prihatin.

Untuk kali ini Belanjawan 2021 memberi fokus kepada aspek melindungi kehidupan dan kebajikan rakyat, memperkasa dan memacu ekonomi, mempergiat pembangunan luar bandar dan wilayah, meningkatkan agenda digitalisasi dan memantapkan perkhidmatan awam.

Pembangunan negara juga berpandukan kepada sumber fiskal yang mana kerajaan percaya bahawa tindak balas fiskal pada ketika ini adalah tindakan tepat kerana wujudnya keperluan mendesak untuk memastikan inisiatif rangsangan yang besar dan rancangan pemulihan ekonomi dilaksanakan dengan segera.

Walaupun defisit Belanjawan 2020 meningkat kerajaan kekal berpandangan bahawa pakej Prihatin, Prihatin PKS, Penjana dan Kita Prihatin akan memastikan Malaysia memiliki kemampuan dan kapasiti untuk menyegerakan pemulihan pasca Covid-19.

Justeru itu, kerajaan akan fokus memelihara disiplin fiskal demi mempertahankan kekuatan sistematik dan kebertanggungjawaban kewangan awam.

- Advertisement -

Dalam kedudukan fiskal 2020, prestasi kutipan hasil dijangka menerima kesan negatif berikutan aktiviti ekonomi domestik yang lebih perlahan dan anggaran harga minyak mentah yang lebih rendah susulan Covid-19.

Pengurangan kutipan hasil dianggarkan kerajaan sekitar 20 peratus berbanding anggaran belanjawan sebahagiannya akan ditampung oleh dividen tambahan dan bayaran khas daripada entiti milik kerajaan seperti Petronas, Khazanah dan KWAP.

Walau bagaimanapun, jumlah perbelanjaan keseluruhan tahun 2020 dianggar sebanyak RM314.7 bilion iaitu meningkat RM17.7 bilion berbanding unjuran asal.

Peningkatan ini berdasarkan peningkatan bersih daripada suntikan rangsangan fiskal sebanyak RM38 bilion dan diimbangi dengan penjimatan daripada perbelanjaan sebanyak RM20.3 bilion hasill daripada perolehan semakan semula program dan projek sedia ada serta pengurangan perbelanjaan daripada anggaran belanjawan.

Perbelanjaan mengurus dijangka berkurang sebanyak 5.9 peratus daripada RM226.7 bilion berbanding anggaran asal iaitu sebanyak RM241 bilion berikutan penjimatan dan klasifikasi semula beberapa item berkaitan pembangunan.

Manakala perbelanjaan pembangunan dijangka berkurang 11 peratus kepada RM50 bilion berbanding anggaran belanjawan RM56 bilion selepas mengambil kira pengurangan perbelanjaan dan semakan semula item dalam perbelanjaan mengurus.

Bagi Kumpulan Wang Covid-19, berdasarkan kepada jangkaan penyaluran peruntukan sebanyak RM 38 bilion dan baki peruntukan itu akan dibawa ke tahun berikutnya.

Dalam tempoh peralihan krisis Covid-19 ke fasa pemulihan, Belanjawan 2021 merupakan permulaan untuk Rancangan Malaysia Ke-12, 2021 hingga 2025 (RMKe-12).

RMKe-12 yang akan mencorakkan hala tuju pembangunan negara dalam persekitaran norma baharu.

Maka dengan itu peruntukan akan disalurkan secara lebih bersasar kepada program projek yang memberi kesan gandaan tinggi supaya memastikan nilai faedah pulangan lebih baik.

Kerajaan akan terus melabur dalam projek infrastruktur awam bagi menyokong ekonomi dan merancakkan pertumbuhan dalam tempoh mencabar ini.

Pada tahun 2021, kerajaan menganggarkan unjuran hasil lebih tinggi iaitu berjumlah RM236.9 bilion atau 15.1 peratus daripada KDNK.

Ia daripada peningkatan kutipan hasil cukai kepada RM174.4 bilion manakala hasil bukan cukai dianggar RM62.5 bilion.

Kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang mengembang atau ‘expansionary’.

Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2021 merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak RM322.5 bilion.

Kerajaan bercadang untuk memperuntukan RM236.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Manakala sebanyak RM2 bilion diperuntukan bagi simpanan luar jangka. Mengambil kira anggaran tersebut, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding KDNK. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -