Belanjawan perpaduan hadapi cabaran COVID-19

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengikuti secara rapat pembentangan Belanjawan Negara 2021 bertemakan ‘Teguh Kita Menang Bersama’, yang dibentang oleh Menteri Kewangan Negara, Dato’ Seri Tengku Zafrul Aziz semalam.

Pemuda PAS berpandangan bahawa Bajet 2021 yang disifatkan sebagai Belanjawan Pengembangan (Expansionary Budget) mampu membawa kesan penggandaan (multiplier effect) tinggi kepada ekonomi negara dalam usaha Pemerkasaan (Revitalise) dan Penyusunan Semula (Reform) ekonomi negara.

Advertisement

Pemuda PAS berpendapat belanjawan yang mencatat sejarah sebagai belanjawan terbesar negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion adalah bertepatan dengan keperluan negara mendepani situasi yang belum pernah dihadapi (unprecedented) serta berupaya mendukung 3 matlamat utama yang digariskan iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Pemuda PAS juga merasakan belanjawan ini sangat menyeluruh dengan capaian maksima manfaatnya kepada rakyat Malaysia serta berjaya menggariskan inisiatif mengikut keutamaan (prioritisation) bagi menghadapi situasi semasa dan mendatang yang penuh cabaran.

Pemuda PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kesudian mendengar dan menerima cadangan Pemuda PAS yang dibawa semasa perjumpaan dengan YAB Perdana Menteri khususnya dalam isu pengangguran dan pembangunan golongan belia. 

Pemuda PAS juga ingin merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana mendengar pandangan daripada semua pihak termasuklah pihak pembangkang. Inilah tanda jiwa besar pihak Kerajaan Perikatan Nasional menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencapai kata sepakat dan mengenepikan perbezaan politik untuk bersama berhadapan dengan kesemua cabaran negara dan menjaga rakyat dengan lebih serius.

Atas sebab-sebab di atas, Pemuda PAS menyokong penuh Belanjawan 2021 ini. Namun begitu, bagi menjadikan belanjawan ini benar-benar belanjawan perpaduan, Pemuda PAS menyeru Ahli Parlimen agar berbahas dengan matang dan sihat serta meletakkan kepentingan rakyat benar-benar di hadapan. 

Pemuda PAS akan terus mengikuti perkembangan pelaksanaan Belanjawan 2021 ini terutamanya di peringkat kelulusan di dalam Sidang Dewan Rakyat dan mengingatkan semua ahli politik dan Ahli Parlimen terus menyokong Belanjawan ini agar kelebihan untuk perolehan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna.

Islam Memimpin Perpaduan”
“Memimpin Negara”
“Teguh Kita Menang Bersama”

IR TS HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/11/2020