Belanjawan 2021, paling mesra golongan B40

- Advertisement -

BELANJAWAN 2021 yang merupakan belanjawan dengan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM322.4 bilion sebenarnya boleh juga disifatkan sebagai yang paling mesra golongan B40 kerana memberi banyak bantuan langsung kepada golongan ini yang terkesan dengan Covid-19.

Itu hanya jika diambil kira dari sudut bantuan langsung terus kepada rakyat dalam golongan sasar. Tidak termasuk dengan peruntukan-peruntukan kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan melalui program-program untuk meningkatkan kemampuan rakyat dalam usaha mereka menambah pendapatan rakyat.

- Advertisement -

Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan beberapa hari sebelum pembentangan Belanjawan 2021 berkata bahawa sebenarnya belanjawan ini adalah ‘belanjawan’ kelima untuk negara pada tahun ini disebabkan Covid-19.

Menurut Tengku Zafrul, sebelum ini kerajaan telah membuat Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) yang memberi suntikan fiskal lebih RM55 bilion.

Ini bermakna bukan sahaja belanjawan kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah namun ia sebenarnya boleh disifatkan sebagai belanjawan raksasa jika mengambil kira pakej rangsangan yang dilaksana kerajaan sebelum sampai tempoh pembentangan Belanjawan 2021 ini demi untuk berdepan dengan krisis Covid-19 ini.

Hasrat rakyat untuk mengeluarkan wang caruman mereka daripada akaun 1 KWSP turut ditunaikan kerajaan dalam belanjawan kali ini walau pun pada awalnya pihak kerajaan nampak keberatan untuk memberi kebenaran.

Sungguhpun begitu ia juga bukan pada jumlah maksimum RM10,000 yang diharapkan orang ramai. Namun sebenarnya jumlah maksimum RM6,000 itu adalah pertimbangan antara kehendak rakyat dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat cukup wang semasa mereka bersara nanti. Ia juga secara bersasar untuk mereka yang hilang pekerjaan sahaja.

Sementara pengurangan kadar caruman KWSP pekerja yang dikurangkan kepada sembilan peratus daripada 11 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan juga bakal meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat sebanyak dua peratus.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diumum kerajaan bagi menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan PH dahulu juga dilihat bakal membantu rakyat terutama mereka yang terjejas dengan Covid-19.

Isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang RM2,500 akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 hingga RM1800 berdasarkan bilangan anak. Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501-RM4,000 akan menerima bantuan antara RM800 hingga RM1,200 juga berdasarkan bilangan anak.

Yang menariknya individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima RM350 dengan had umur kelayakan diturunkan kepada 21 tahun yang sebelum ini minimum 40 tahun. Ia juga bermakna mahasiswa-mahasiswa yang sedang belajar di universiti antara yang bakal menerima bantuan ini.

Selain itu sebanyak RM1.5 bilion diperuntukan dalam Program Jaringan PRIHATIN iaitu kredit telekomunikasi untuk golongan B40 sebanyak RM180 seorang untuk langganan internet atau kos telefon bimbit.

Bagi mereka yang hilang pekerjaan pula pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan yang menetapkan tempoh Elaun Mencari Kerja bakal melegakan golongan ini. Tempohnya dilanjutkan menjadi sembilan bulan. Kadar layak menuntut pula adalah 80 peratus gaji bagi bulan pertama, 50 peratus bulan dua hingga enam dan 30 peratus untuk tiga bulan terakhir.

Pengumuman lain yang penulis lihat agak bermakna kepada rakyat ialah tentang Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin yang dinaikkan pada kadar baharu iaitu RM150 bagi setiap seorang anak berumur tujuh ke 18 tahun, sementara bagi anak berumur enam tahun ke bawah pula ialah sebanyak RM200 seorang dengan kadar maksimum RM1,000 bagi satu-satu sekeluarga.

Bukan hanya untuk mereka yang bekerja makan gaji, golongan nelayan dan peladang juga tidak ketinggalan mendapat bantuan. Elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan kepada RM300 sebulan daripada RM250 bermula 2021. RM400 juta pula diperuntukan bagi membantu peneroka FELDA menghapus faedah hutang kebun peneroka dan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.

Pas perjalanan bulanan tanpa had bernilai RM5 pula bakal memanfaatkan pelajar tahun satu hingga tingkatan enam dan golongan OKU melibatkan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren Kuala Lipis-Tumpat dan tren Sabah jajaran Beaufort-Tenom.

Dan yang pasti tidak pernah ketinggalan dalam setiap kali pembentangan belanjawan ialah kakitangan awam. Beberapa pengumuman kerajaan di dalam pembentangan Belanjawan 2021 ini nampaknya memberi berita gembira kepada mereka.

Bagi menghargai jasa kakitangan kerajaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju mengurniakan pemberian one-off sebanyak RM500 kepada mereka. Selain itu juga pemberian one-off sebanyak RM500 juga diberi kepada pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti mereka.

Sementara itu bantuan khas kewangan RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah sebagai menghargai jasa dan perkhidmatan mereka; bantuan khas kewangan RM300 diberikan untuk pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen dan kadar elaun Pegawai Bomba Bantuan dinaikkan daripada RM6 kepada RM8 sejam.

Sungguhpun kakitangan kerajaan ini tidak begitu terkesan dengan Covid-19 dari sudut pendapatan atau pekerjaan namun semua faedah yang mereka terima daripada pengumuman Belanjawan 2021 ini sebenarnya berperanan untuk merancakkan lagi ekonomi apabila mereka berbelanja dengan bantuan yang mereka terima ini sekali gus membantu peniaga-peniaga yang sebelum ini terkesan dengan penularan wabak Covid-19 ini.

Apa yang disebutkan di atas adalah sebahagian daripada bantuan langsung yang diumumkan kerajaan untuk membantu golongan B40. Ada lagi bantuan-bantuan lain yang diumum yang tidak sempat penulis titipkan dalam ruangan yang terhad ini. Itu belum lagi kita bercerita tentang bantuan bersifat tak langsung dan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana. Yang pasti Belanjawan 2021 ini memang sangat mesra B40.

IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah – HARAKAHDAILY 7/11/2020