Belanjawan 2021 bantu optimumkan operasi aset ATM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM2.3 bilion bagi kesiapsiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Belanjawan 2021 boleh memastikan pengoperasian aset-aset berada pada tahap optimum dengan keupayaan diatur gerak sebilang masa, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pihaknya peka terhadap kepentingan mengimbangi keupayaan ketenteraan dihajati berdasarkan peruntukan kewangan disediakan kerajaan.

“Peruntukan penyelenggaraan aset-aset utama ATM yang ditingkatkan daripada RM2.3 bilion bagi 2021 berbanding RM2 bilion sebelum ini amat penting bagi memastikan kesiagaan pengoperasian aset-aset tersebut.

- Advertisement -

“Selain peruntukan itu, sebanyak RM16 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dapat membantu pembangunan keupayaan ATM yang dirancang dan disusun berdasarkan senario cabaran serta ancaman semasa dan akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, keprihatinan kerajaan diteruskan lagi terhadap aspek penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang merupakan inisiatif dijamin mampu memberi keselesaan kepada anggota dan keluarga. 
 
“Di samping itu, peruntukan berjumlah RM500 juta bagi pembinaan hampir 1,000 unit baharu RKAT dilihat sebagai penyumbang kepada peningkatan moral warga ATM dalam memastikan kebajikan mereka ini sentiasa diutamakan,” katanya.

Affendi berkata berdasarkan ancaman semasa, iaitu penularan wabak COVID-19, ATM perlu sentiasa mengekalkan kesiagaannya bagi memenuhi keperluan tugas-tugas sekunder dilaksana ketiga-tiga cabang perkhidmatannya iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Ia dalam usaha membantu negara terutama Kementerian Kesihatan  (KKM) serta agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain bagi memutuskan penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata peningkatan keupayaan kesiagaan ATM melalui belanjawan yang diperuntukan juga adalah bersandarkan kepada isu-isu keselamatan semasa.

“Melihat kepada pelaksanaan Op Benteng bagi memastikan persempadanan negara tidak diceroboh oleh anasir asing terutamanya pendatang tanpa izin, kesiagaan pertahanan maritim perlu diperkasa berdasarkan perairan negara yang luas,” katanya.

Affendi berkata perkara berkenaan memerlukan peningkatan perolehan aset maritim terutamanya untuk TLDM bagi membolehkan pasukan itu mengoptimumkan peranannya dalam memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. 

“Begitu juga dengan keupayaan kesiagaan kawalan persempadanan daratan yang panjang terutama di Sabah dan Sarawak yang memerlukan perancangan strategik TDM, terutama aspek penempatan serta fasiliti pos-pos kawalan baharu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -