Tiga Titi Projek Prihatin selesai masalah jalan berlecak

BETING MARO: Penduduk kampung mengucapkan rasa syukur dengan binaan titi baharu di tiga buah lorong di Kampung Beladin, Pusa yang selama ini menjadi jalan penghubung ke jalan utama beberapa penduduk yang tinggal berdekatan telah siap sepenuhnya.

Advertisement

Titi pada asalnya hanya menggunakan papan dan serpihan kayu sebagai titi yang menghubungkan ke jalan utama menyebabkan jalan berlecak terutama apabila tiba hari hujan, kini telah digantikan dengan pembinaan titi simen bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pembinaan Titi ini adalah sebuah projek kebajikan di bawah Projek Prihatin yang merupakan satu usaha Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Majlis Perasmian ketiga-tiga buah Titi Projek Prihatin ini telah diadakan pada 31 Oktober bersama penduduk kampung.

Perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (JPrDMPNS), Dayangku Huda Ahmad, dan turut disertai oleh Ketua Muslimat PAS Kawasan Batang Lupar, Mahani Mumtaz.

Dayangku Huda berharap, semoga dengan pembinaan titi Projek Prihatin di lorong-lorong Beladin seperti ini dapat mempermudahkan dan dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Harapan beliau semoga usaha-usaha Projek Prihatin di bawah Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak akan dapat diperluaskan lagi dan dikenali di seluruh Sarawak.

Perasmian Titi Projek Prihatin ini telah dijalankan secara ringkas dan kehadiran telah dihadkan bagi mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – HARAKAHDAILY 6/11/2020