RM3 bilion untuk bekalan vaksin Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekalan vaksin Covid-19 dijangka melibatkan kos melebihi sebanyak RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia bagi memastikan negara tidak ketinggalan dari mendapat rawatan.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan terus komited untuk mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program Covid-19 Vaccine Global Access atau COVAX.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu katanya, bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan juga bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta Covid-19.

“Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.

“Kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000 dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000,” katanya.

Sebagai tambahan, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM8,000.

Dalam tempoh pandemik ini juga ujarnya, kerajaan menerima maklum balas bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat.

Bagaimanapun katanya, Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan telah menerima lebih 35,000 panggilan telefon sejak Mac hingga Oktober yang antaranya melibatkan masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan.

Justeru itu, peruntukan sebanyak RM24 juta disediakan bagi menangani isu ini termasuk melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substans. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -