Pengorbanan Kedah lebih besar dari pampasan RM170 juta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pampasan khas RM170 juta yang dipohon kerajaan negeri, dilihat kecil berbanding apa yang dikorbankan oleh Kedah dalam menjamin penghasilan bekalan beras negara, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata Kedah menyediakan kawasan tanah sawah sejak sekian lama bagi menghasilkan 40 peratus daripada bekalan beras negara, dengan lebih 130,000 hektar tanah negeri dijadikan kawasan sawah padi untuk menghasilkan bekalan beras yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Jika tanah sawah ini diubah status komersial, ia mampu meningkatkan kutipan cukai sehingga RM1.7 bilion, jadi diharapkan kerajaan pusat pertimbangkan permohonan ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Libat Urus Menteri Besar bersama Peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Keusahawanan Pertanian dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat Negeri, Azman Nasaruddin. 

Selasa lepas, Muhammad Sanusi dalam kenyataannya kepada Bernama memohon agar kerajaan pusat memberi peruntukan khas RM170 juta kepada Kedah susulan pengekalan tanah sawah di negeri ini.
 
Beliau juga memohon pampasan untuk pengekalan hutan simpan bagi tujuan tadahan hujan yang diharap dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengingatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya tidak menjadi alat politik kepada mana-mana pihak dan hanya menumpukan usaha untuk membantu nasib peladang di negeri Kedah dan Perlis. 

“Ada 27 PPK MADA, jadi semua perlu bekerja dan berusaha untuk membangunkan ahli PPK. Pertubuhan ini sudah lama, jadi jangan benarkan sesiapa memesong matlamat sebenar penubuhan PPK. 

“Jangan biar pihak lain mengaut keuntungan daripada kesusahan kita juga, apabila matlamat PPK terpesong, datanglah berapa banyak bantuan dan peruntukan sekali pun matlamat untuk membangunkan peladang akan gagal kerana ada tujuan lain,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -