Pencemaran Sungai Nipah serlah realiti Pulau Pinang

Negeri kotor berbeza dari slogan 'Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Ceria' dicanang

- Advertisement -

BAYAN BARU: Slogan Pulau Pinang di bawah Kerajaan DAP iaitu ‘Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Ceria’ ternyata hanya retorik di mana pencemaran alam sekitar antara mengisi landskap isu negeri ini.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, walaupun telah tiga penggal memerintah, slogan dicanang itu tidak memperlihatkan kesungguhan kecuali hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Beliau mengakui laporan media mengenai kotoran sampah sarap yang memenuhi dan mencemar tanpa penyelenggaraan sewajarnya pihak tertabit terhadap Sungai Nipah, Kampung Naran, di sini.

HarakahDaily pernah menyiarkan laporan mengenai keadaan itu sedangkan sungai tersebut berada berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan kawasan perindustrian yang moden.

Kelmarin, Iszuree turun lagi menunjukkan keadaan yang mencacatkan pemandangan itu di mana dipercayai kontraktor pembersihan berkenaan gagal menjalankan tugas secara berkala.

Turut serta bersama beliau adalah Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Md Yusof dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru, Muhammad Zikrullah Ismail.

Juga Ketua Penerangan PAS Bayan Baru, Mohd Farhan Yusri dan wakil NGO TEROKA, Asyrul Firdaus Hasnul serta wakil penduduk setempat, Mohd Shurhadi Shamsudin yang meninjau sungai penuh sampah dan berwarna hitam pekat itu.

Menurut Zikrullah, realiti itu berbeza dari yang ditularkan kononnya Pulau Pinang bersih dan cantik untuk pelancongan di mana perkara ini disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan negeri untuk proaktif.

“Kerajaan negeri jangan ambil mudah sangat. Ambil gambar satu tempat lain gambarkan kecantikan Pulau Pinang, tapi realitinya sungai di sini tercemar,” kesali beliau.

Sementara itu menurut Shurhadi, dahulunya Sungai Nipah itu jernih dan bersih, kemudian dicemari oleh kumbahan tahi babi kerana banyaknya rumah-rumah di sepanjang sungai itu menternak babi.

Tetapi katanya, bila babi sudah tidak diternak di sini, digantikan pula dengan kilang-kilang yang mungkin menjadi punca utama pencemaran dan menuntut siasatan dilakukan terhadap masalah ini.

Iszuree sebagai mewakili PAS Pulau Pinang mencadangkan agar tindakan segera dilakukan antaranya memperbanyakkan perangkap sampah di sungai yang berpotensi tercemar dan tegas menguatkuasakan undang-undang berkaitan.

“Syarikat yang diberikan tender pembersihan juga perlu dipertanggungjawabkan jika didapati tidak menjalankan tugas berkala mengikut jadual. Perlulah diambil tindakan penguatkuasaan dan ditarik semua projek tender pembersihan yang telah diberikan.

“Adakan ‘Kempen Sayangi Sungai dan Alam Sekitar’ perlu dididik di peringkat pra-persekolahan sehingga menengah bersama-sama komuniti setempat.

“PAS Negeri akan mengambil perhatian masalah berkaitan pencemaran alam sekitar di Pulau Pinang khususnya Sungai Nipah dan akan menghantar laporan kepada Kementerian Alam Sekitar melalui Lajnah Alam Sekitar Negeri,” ujarnya.

PAS Pulau Pinang juga sebelum ini bertindak proaktif terhadap isu pencemaran Sungai Kreh, Tasek Gelugor disebabkan oleh kumbahan tahi babi dari kegiatan penternakan besar-besaran babi di Kampung Selamat, Kepala Batas. – HARAKAHDAILY 6/11/2020


- Advertisement -