PAS sokong penuh Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Idris berpandangan bahawa pembentangan ini menjurus kesejahteraan rakyat yang menyeluruh bagi semua peringkat lapisan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Pembentangan amat menyeluruh dan menarik apabila telah membuat perbincangan bersama 14 buah negeri yang melibatkan sebanyak 38 sesi dialog.

“Ia turut menyentuh dan memberi manfaat kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), nelayan, pekebun getah dan juga aspek kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini untuk mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2021.

Pun begitu katanya, manfaat turut diperolehi oleh peneroka Felda yang sebelum ini menanggung beban hutang apabila kerajaan mengumumkan peruntukan RM400 juta penghapusan faedah hutang peneroka.

Belanjawan 2021 mencatatkan sejarah sebagai belanjawan terbesar, dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerajaan juga katanya turut mengutamakan pendidikan anak bangsa apabila sejumlah peruntukan besar diagihkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kita tahu pembelajaran merupakan satu pelaburan untuk jangka masa panjang dan ia merupakan bahan komoditi untuk melahirkan modal insan yang akan datang.

“Soal keselesaan dalam konsep pembelajaran akan memberi impak yang baik kepada generasi akan datang,” katanya

Bagaimanapun katanya, Belanjawan 2021 ini dapat dilihat ianya untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ekonomi untuk disalurkan dengan baik bagi menentukan negara terus berkembang maju. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -