PAS gesa UMANY disiasat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) disiasat berhubung kenyataan biadap memperlekehkan peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai tonggak kepada sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata sikap pemikiran sebegitu amat berbahaya kepada pembinaan negara pada masa akan datang.

“Kita kesal terhadap seorang pimpinan daripada UMANY yang telah membuat satu hantaran di Facebook seolah-olah tidak faham dengan Perlembagaan Negara,” katanya.

Menurut Ustaz Idris, perbuatan itu merupakan satu sikap keras kepala yang cuba untuk membawa norma tatacara pemikiran tidak baik.

“Pemikiran seperti begini amat berbahaya kalau sudah diracuni sejak daripada muda lagi,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak bertanggungjawab untuk menyiasat terhadap status yang dikeluarkan oleh UMANY.

“Jika benar itu merupakan tulisan asal daripada mereka maka kita harapkan dapat disiasat dan dibawa kepada pengadilan.

“Kita tidak mahu wujud anak-anak muda rosak dengan pemikiran seperti ini yang tidak mengetahui tentang asas kepada pembinaan negara Malaysia,” katanya.

Beliau menyifatkan pada era hari ini tidak sepatutnya wujud lagi pemikiran seperti itu.

Sementara itu, mengulas berhubung satu hantaran di Facebook UMANY mengenai kempen sokongan kepada Thailand yang menunjukkan satu protes kepada istana, beliau berkata, ia suatu bahaya terhadap pemikiran yang ada pada UMANY.

Susulan itu, beliau berharap tindakan yang tegas perlu diambil supaya gejala-gejala seperti ini dapat dibendung pada awal lagi. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -