KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2021 yang telah dibuat terutamanya peruntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk Subsidi Harga Padi dan Insentif Tanaman Padi.
Pengerusi MADA, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, peruntukan tersebut akan memberi manfaat kepada 57,635 peladang di Kawasan Muda yang mengusahakan seluar 100,685 hektar sawah padi.
“MADA juga menzahirkan rasa syukur dan teruja berkaitan pengumuman untuk program baharu iaitu peruntukan sehingga RM10 juta bagi pelaksanaan program e-satelit bagi memacu aktiviti perladangan moden ‘internet of thing‘.
“Termasuk drone serta pengumuman berkaitan pembiayaan dibawah program modenisasi rantaian agromakanan kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR4.0,” ujarnya sebentar tadi.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Sik, MADA yakin program-program baharu ini mampu menjadi katalis kepada pemodenan sektor tanaman padi dengan suntikan dana kepada peladang.
Bahkan juga katanya, manfaat tersebut akan meluas juga kepada para pemain industri seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pembekal perkhidmatan berkaitan.
“Kita menjangkakan program ini mampu memberi impak positif kepada peningkatan hasil padi dan amalan pertanian yang lebih baik diperingkat ladang.
“MADA juga menjangkakan inisiatif yang memfokuskan kepada IR4.0 dapat menarik minat lebih ramai golongan muda di dalam industri penanaman padi.
“Secara keseluruhannya MADA terus beriltizam untuk kekal menjadi penyumbang utama pengeluaran padi negara,” yakini beliau. – HARAKAHDAILY 6/11/2020