Kerajaan PH bayar hutang guna wang pinjaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid melahirkan kebimbangan apabila 59.9 peratus atau RM82.723 bilion daripada Terimaan Pinjaman Baharu Kerajaan Persekutuan bagi tahun kewangan 2019 digunakan untuk membayar hutang.

- Advertisement -

Beliau berkata secara ideal, wang daripada pinjaman itu sepatutnya disalurkan bagi tujuan pembangunan yang sekali gus mampu mewujudkan kesan berganda dalam menjana ekonomi negara.

“Hanya sebahagian kecil sahaja iaitu 29 peratus disalurkan untuk wang pembangunan, itu yang kita bimbang… perbelanjaan pembangunan hendaklah digunakan secara lebih produktif supaya projek yang dibiayai mempunyai kesan berganda tinggi, menjana kegiatan ekonomi dan pada masa sama, mempunyai ‘value for money’ (nilai untuk wang),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini semalam.

Katanya melalui pelaksanaan projek pembangunan, kerajaan akan dapat mengutip hasil cukai yang kemudiannya boleh digunakan untuk membayar kembali faedah dan prinsipal pinjaman berkenaan.

Menurutnya, kerajaan diunjur membayar balik hutang sebanyak RM10 bilion pada 2034.
 
“(Untuk) Tahun 2034, (sebanyak) RM10 bilion kita (perlu) bayar, maknanya peningkatan yang ketara… kita kena bersedia walaupun lambat lagi (tahun tersebut), kena bersedia dengan kegiatan ekonomi yang boleh membawa hasil besar untuk memenuhi komitmen membayar balik (hutang),” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata pada tahun kewangan 2019, antara lain, kerajaan menggunakan peruntukan pembangunan untuk membayar hutang matang 11 syarikat milik kerajaan dalam bentuk geran.

Antara syarikat terbabit ialah DanaInfra Nasional Berhad dengan peruntukan RM1.5 bilion; Suria Strategic Energy Resouces Sdn Bhd (RM1 bilion); Jambatan Kedua Sdn Bhd (RM0.327 bilion); K.L. International Airport Bhd (RM0.082 bilion); TRX City Sdn Bhd (RM0.066 bilion); MKD Kenchana Sdn Bhd (RM0.05 bilion); SRC International Sdn Bhd (RM0.388 bilion).

“Dua daripada syarikat itu tiada projek pembangunan pun iaitu Suria Strategic Energy Resouces dan SRC International tetapi (pembayaran hutangnya) menggunakan peruntukan pembangunan,” katanya, menambah peruntukan itu sepatutnya diberikan kepada syarikat terbabit dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan yang perlu dibayar balik.

Bagaimanapun, katanya penggunaan wang berkenaan tidak menyalahi Seksyen 8 Akta Pinjaman 1972, tetapi hanya tidak mencerminkan tatacara perakaunan yang benar dari segi audit.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pihaknya telah mendengar taklimat Ketua Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

“Dalam pembentangan hampir tiga jam itu, PAC dimaklumkan bahawa secara keseluruhannya, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan berakhir 31 Disember 2019 menunjukkan gambaran yang benar dan saksama dengan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan dikemas kini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -