Kerajaan Persekutuan teroka langkah terpuji

ALOR SETAR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan petang tadi dilihat memberi kesan secara langsung dalam beberapa perkara termasuk pembangunan dan pengurusan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kerajaan Persekutuan memberi fokus secara khusus kepada program pembangunan beberapa infrastruktur penting di Kedah.

“Saya mengharapkan Kedah akan berada dalam senarai utama projek pembangunan infra luar bandar yang mendapat dana besar sebanyak RM2.7 bilion,” ujarnya di sini.

Advertisement

Antara lain, negeri itu bakal menyelesaikan masalah air apabila peruntukan untuk projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) diluluskan.

Selain itu, infrastruktur seperti jalan raya dari Gerik ke Kulim, zon pembangunan khas di Yan dan Baling serta penyelenggaraan kawasan industri dan jalan kampung akan membantu Kedah secara langsung.

“Pengumuman peningkatan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sekali ganda merupakan insentif kepada petani yang akan banyak memberi manfaat kepada golongan sasar di Kedah.

“Elaun imam, siak bilal dan guru takmir turut dinaikkan,” ujarnya sambil melahirkan syukur sebagai mewakili rakyat negeri Kedah.

Beliau juga berharap projek naik taraf jalan luar bandar yang akan didanai sebanyak RM1.32 bilion memberi perhatian kepada jalan-jalan ban di kawasan MADA, perkampungan KEDA dan Felda.

“Saya yakin rakyat berpuas hati dengan semua skim bantuan yang diumumkan termasuk pemberian khas kepada frontliners yang bertungkus lumus menghadapi Covid-19.

“Ini adalah langkah terpuji Kerajaan Persekutuan,” sambung Muhammad Sanusi. – HARAKAHDAILY 6/11/2020