DPIM sokong peruntukan kekang Covid-19

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong usaha kerajaan dalam memberikan peruntukan bagi usaha mengekang penularan Covid-19 dengan kos RM1 bilion pada tahun hadapan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya turut berbesar hati apabila cadangan DPIM agar kerajaan memberikan penghargaan kepada golongan barisan hadapan menjadi realiti.

“Kerajaan setuju laksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memanfaatkan 100,000 petugas.

Advertisement

“Kerajaan juga dilihat komited apabila memperuntukkan dana untuk mendapatkan sumber vaksin antaranya melalui penyertaan Covid-19 Vaccine Access (COVAX) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media seusai Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Belanjawan 2021 yang membawa tema “Teguh Kita, Menang Bersama”.

Menurut beliau, Belanjawan 2021 mencatatkan sejarah sebagai belanjawan terbesar, dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Seperti dijangka, RM236.5 billion atau 73.3 peratus akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (Operating Expenditure) dan RM69 billion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu Shahir berkata, dari sudut ketahanan ekonomi rakyat dan anak muda, DPIM berpandangan semua pihak perlu memperhalusi cadangan ‘bersasar’ pengeluaran KWSP yang nampaknya tidak menyeluruh.

Selain itu, katanya cadangan umur ‘bujang’ yang diturunkan daripada 40 tahun kepada 21 tahun juga perlu diperhalusi agar tiada keciciran dalam golongan anak muda.

Sehubungan itu, DPIM mencadangkan pihak kerajaan dan pembangkang untuk berbincang dan membahaskan usul belanjawan secara berhemah demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Pada masa yang sama, DPIM akan memberikan pandangan kami kepada pihak Kementerian secara terus dalam masa terdekat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2020