Belanjawan inklusif, sasar kesejahteraan semua

- Advertisement -

JUTAAN terima kasih saya ucapkan jutaan kepada YB Menteri Kewangan dan Kerajaan Persekutuan yang telah memberi fokus secara khusus kepada program pembangunan beberapa infrastruktur penting di Kedah.

Saya mengharapkan Kedah akan berada dalam senarai utama projek pembangunan infra luar bandar yang mendapat dana besar sebanyak RM2.7 bilion.

Bagi saya, belanjawan yang dibentangkan pada hari ini adalah bersifat inklusif menyasarkan kesejahteraan bagi semua kelompok masyarakat selain bermatlamat untuk mengurangkan beban rakyat dalam menangani impak pandemik COVID-19 yang belum tentu bila akan berakhir.

- Advertisement -

Saya juga tertarik dengan banyak penambahbaikan dalam Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dijenamakan semula daripada Bantuan Sara Hidup (BSH).

Belanjawan â€˜Teguh Kita Menang Bersama’ dengan nilai RM322.5 bilion untuk tahun 2021 adalah belanjawan terbaik dan diperlukan untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Sebagaimana kita bersatu dalam menyediakan usul ini, sekarang adalah masa untuk kita bersatu hati bekerja keras mencapai matlamat pemulihan negara.

Secara keseluruhannya belanjawan yang dibentangkan petang ini dialu-alukan kerana:

(a) Bajet yang mencakupi semua perkara yang diperlukan rakyat.

(b) Menyediakan banyak insentif untuk memaju dan mengembangkan ekonomi Malaysia.

(c) Menyediakan bantuan secara langsung kepada rakyat B40, wanita, golongan miskin, OKU dan yang terkesan dengan COVID-19.

Untuk Kedah, saya berterima kasih kerana Belanjawan 2021 memberi kesan langsung kepada Kedah dalam belanja pembangunan dan mengurus. Antaranya:

(1) Peruntukan untuk projek Loji Rawatan Air (LRA), jalan raya dari Grik ke Kulim, infrastruktur zon pembangunan khas di Yan dan Baling. Ini memberi faedah langsung kepada Kedah.

(2) Peruntukan untuk senggara kawasan industri, jalan kampung, akan bantu Kedah secara langsung.

(3) Pengumuman Peningkatan insentif pengeluaran getah (IPG) sekali ganda, insentif kepada nelayan dan petani yang akan banyak memberi manfaat kepada golongan sasar di Kedah.

(4) Elaun Imam, Siak, Bilal dan guru takmir turut dinaikkan.

(5) Peruntukan untuk membangunkan Loji Rawatan Air baru di Kubang Pasu untuk penduduk dan kawasan industri baru sangat-sangat dihargai.

(6) Bagi projek naik taraf jalan luar bandar yang akan didanai sebanyak RM1.32 bilion, saya amat mengharapkan untuk jalan-jalan ban di kawasan MADA, perkampungan KEDA dan kawasan Felda turut diberikan perhatian. Ini kerana kawasan-kawasan tersebut juga adalah termasuk kawasan luar bandar.

Saya yakin rakyat berpuas hati dengan semua skim bantuan yang diumumkan. Pemberian khas kepada frontlinersyang bertungkus lumus menghadapi COVID-19 adalah langkah terpuji Kerajaan Persekutuan.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR 
Menteri Besar Kedah Darul Aman 
6 November 2020 – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -