Belanjawan 2021: Trend pemulihan KDNK memberangsangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dianggarkan menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan bagi bulan Julai hingga September.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia dapat dilihat melalui pertumbuhan KDNK negara dari negatif 28.6 peratus pada April kepada negatif 3.2 peratus pada Jun tahun ini.

Sehubungan dengan itu, katanya mengambil kira persekitaran semasa, pertumbuhan ekonomi negara dianggar menyusut sebanyak 4.5 peratus tahun ini.

Bagaimanapun katanya, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

- Advertisement -

“Ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus.

“Suatu yang penting untuk disedari, kita telah membuktikan kepada masyarakat dunia yang Malaysia mampu menguruskan ekonominya dalam keadaan mencabar apa sekalipun. Baik dalam sukar lebih lagi senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Zafrul, natijah dari pengalaman melalui pelbagai krisis ekonomi sebelum ini ditempa menjadi pasak iltizam yang mengikat untuk teguh berikhtiar, bijak kala bertindak, dan yakin pada gemblengan usaha. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -