Belanjawan 2021: Kerajaan hargai sumbangan wanita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha memperkasakan usahawan wanita dan menghargai sumbangan wanita telah memperuntukkan sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas melalui Tekun, Mara dan Agrobank.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebanyak RM50 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

- Advertisement -

“Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe,” katanya ketika membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bahawa kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak kerajaan.

Dalam pada itu, menyedari pentingnya menangani isu keganasan rumah tangga, Zafrul berkata kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan RM21 juta ringgit.

“Pusat ini dengan kerjasama NGO akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut memahami kekangan yang dihadapi petugas barisan hadapan dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

Sehubungan itu, bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan golongan ibu berkerjaya, RM30 juta disediakan untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital.

Manakala bagi sektor swasta, geran padanan sehingga RM20 juta akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di premis mereka, ujarnya.

Disamping itu, RM10 juta telah diperuntukkan bagi program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi mendapat kanser payudara, ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -