Belanjawan 2021: Elaun Guru Takmir dinaikkan kepada RM900

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Guru Takmir daripada RM800 kepada RM900 sebulan bagi menghargai jasa 4,000 guru takmir yang menjadi penggerak komuniti peringkat kariah.

Kerajaan melalui Belanjawan 2021 turut mengumumkan pemberian bayaran khas One Off sebanyak RM500 kepada imam, siak, noja, merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembangunan Islam akan terus diperkukuh melalui peruntukan sejumlah RM1.4 billion ringgit bagi pengurusan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ia termasuk memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

- Advertisement -

Justeru itu, Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap selain dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan, ujarnya ketika membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB.

Kata Tengku Zafrul, di bawah perkhidmatan itu, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit ke dalam tabung wakaf ASNB dan layak mendapat potongan cukai pendapatan.

Pulangan berterusan dari tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB, ujarnya.

- Advertisement -