Belanjawan 2021: BPN 2.0 bakal disalur awal Januari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantuan Prihatin Nasional fasa kedua atau BPN 2.0 sebanyak RM2.2 bilion bakal disalurkan bermula pada Januari 2021, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan terus melaksanakan dan menambah baik bantuan tunai BPN secara lebih bersasar bagi tahun 2021 yang akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik.

Menurut beliau, bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Selain itu, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan.

- Advertisement -

Manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 ringgit, katanya.

Sementara itu, kerajaan juga akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hinggga RM5,000, kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai seorang anak dan sebanyak RM750 akan disalurkan kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih.

Dalam pada itu juga, individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan sebanyak RM350.

Namun tidak sekadar itu katanya, had bagi umur kelayakan individu bujang turut diturunkan kepada 21 tahun berbanding syarat sebelum ini iaitu berusia 40 tahun.

Secara keseluruhan katanya, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan seramai 8.1 juta rakyat dengan peruntukkan sebanyak RM6.5 bilion berbanding sebanyak 4.3 juta penerima dan peruntukkan RM5 bilion sebelum ini dibawah BSH.

Bagaimanapun, kerajaan turut memperuntukka RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.

“Bermula suku pertama 2021, lebih kurang sebanyak 8 juta dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon baharu dan pada masa yang sama syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -