Belanjawan 2021: 7 Inisiatif perkasa sektor pertanian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak tujuh inisiatif utama sektor pertanian bakal diperkenalkan untuk memperkasakan sektor itu yang menyumbang 7.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun 2019.

“Tatkala sektor-sektor lain mencatatkan penguncupan akibat Covid-19, sektor pertanian dianggarkan terus berkembang pada 4.7 peratus pada KDNK tahun hadapan.” ujar beliau.

Menurut beliau, tujuh inisiatif itu yang pertama ialah perluasan program Kebun Komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.

- Advertisement -

“Inisiatif kedua ialah perlaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta dan dijangka memanfaatkan 1000 komuniti.

“Inisiatif ketiga ialah perlaksanaan program Ladang e-Setelit dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM30 ribu kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan ‘internet of things’ termasuk dron.

“Inisiatif keempat ialah pembiayaan di bawah Program Permodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sehingga RM5 juta pada 3.5 peratus bagi tempoh sepuluh tahun kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan pukat dan bot.

“Inisiatif kelima ialah pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh sepuluh tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR 4.0. Sebanyak RM60 juta disediakan Agrobank.

“Inisiatif keenam, perlaksanaan Program Pengembangan Akuakultur, dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM20 ribu kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi seperti udang kara dan ikan kerapu.

“Dan inisiatif ketujuh ialah perlaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan.” ujar beliau.

Tengku Zafrul berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, petang tadi. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -