85 buah surau dibenarkan solat Jumaat – Mufti Melaka

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: Hampir 85 buah surau di Melaka bakal dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat semasa tempoh pandemik Covid-19, kata Mufti Melaka, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Halim Tawil.

Jelas Mufti Melaka itu, pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka telah bersiap sedia memastikan kecukupan tempat untuk solat Jumaat melalui kerjasama Jabatan Pendidikan yang mengendalikan sekolah-sekolah berasrama dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di Melaka.

- Advertisement -

Persiapan ini telah dibuat sebelum Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengumumkan ketetapan tentang prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Jumaat.

“Masuk sahaja budak sekolah berasrama, saya yakin pada ketika itu mereka sudah tidak boleh keluar. Kalau mereka keluar juga, mereka akan merosakkan sistem kariah.

“Jadi saya fikir semua sekolah berasrama, institusi pengajian tinggi, hatta walaupun pandangan itu ada khilaf kenapa kita berbilang Jumaat dalam satu kariah, dipanggil taadud Jumuah.

“Dalam fekah Imam Syafie tidak boleh berbilang Jumaat dalam satu kariah. Tapi kita berbicara dalam konteks masyaqqah, mudarrah, ujian yang sedang melanda,” ujar beliau.

Mufti Melaka berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Tautan Ukhuwah sempena Maulidur Rasul yang berlangsung di Madrasah Al-Mutmainnah, Peringgit Jaya malam semalam.

Syarahan itu dipancarkan secara langsung menerusi laman Facebook madrasah itu.

Bimbang terhadap kedatangan dwi-pandemik yang dikhabarkan bermula pada hujung tahun ini, Abdul Halim menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengharapkan pertolongan dan berserah diri kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian ini.

“Pendekatan saya biarlah kita memudahkan orang untuk beribadah dalam keadaan mutakhir ini berbagai-bagai ujian. Ke mana lagi kita nak mengadu kalau tidak kepada Allah Rabbul Jalil,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk sama-sama berkempen kepada orang awam supaya kembali semula menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid dan surau yang telah diberi kebenaran oleh jabatan agama.

Dalam majlis itu beliau juga meminta agar orang ramai memanjatkan doa kepada Allah SWT agar tiada arahan PKP, PKPB, PKPD dan seumpamanya di Negeri Melaka kerana jumlah kehadiran solat Jumaat dalam negara masih belum mencapai angka 120,000 orang lelaki yang hadir.

Merujuk keadaan tersebut, Abdul Halim menasihatkan hadirin untuk tidak meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak selagi ruang dan peluang untuk menunaikannya masih terbuka. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -