Total ‘lockdown’ tidak perlu dilaksana

Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu adalah berikutan kerajaan belum lagi memperhalusi kaedah yang sewajarnya dibuat bagi menangani masalah penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata ketika itu, kerajaan sedang dalam fasa mengkaji prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diguna pakai bagi menjalankan aktiviti dengan memberikan keseimbangan kepada aktiviti ekonomi, fizikal dan sosial.

- Advertisement -

“Empat fasa PKP yang berakhir pada 12 Mei 2020 telah digantikan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula daripada 13 Mei hingga 9 Jun 2020 seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan diteruskan dengan PKPP sejak 1 September hingga 31 Disember 2020 sebagai langkah dasar keluar (exit strategy) secara berhati-hati dengan pembukaan secara berperingkat hampir kesemua sektor ekonomi dan juga sosial berpandukan SOP.

“Pendekatan PKPP ini dilaksanakan untuk memberi keseimbangan di antara aspek keselamatan kesihatan dan juga dari sudut aktiviti ekonomi supaya ia boleh berlangsung dan tidak terjejas.

“Tanpa keseimbangan ini, kehidupan rakyat akan terjejas teruk sekiranya pendekatan PKP sebelum ini dilaksanakan akibat sekatan-sekatan yang menghalang aktiviti sosio-ekonomi berlaku,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mempersoalkan tentang mengapa sehingga kini kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang agak kritikal dan tidak terkawal terutamanya di Sabah dan beberapa buah negeri zon merah setakat ini.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata bagi kes negeri Sabah, kerajaan telah pun melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah bermula 13 Hingga 26 Oktober 2020 dan disambung lagi sehingga 9 November 2020.

“Langkah ini diambil bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malayasia (KKM) meneruskan tindakan saringan dan mengesan kontak rapat serta tindakan rawatan.

“Keputusan untuk melaksanakan PKPB adalah bagi membolehkan aktiviti ekonomi terus dibenarkan beroperasi di dalam kawasan tersebut supaya tindakan melindungi nyawa ini dapat juga diimbangkan dengan keperluan menjana ekonomi,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan total lockdown tidak perlu dilaksanakan kerana kini dalam peringkat pemulihan.

Tambahnya, mekanisme pengurusan krisis negara yang telah dilaksanakan ini telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

“Sekiranya total lockdown ini dibuat, ia akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental (mental health) dan ekonomi.

“Kerajaan seharusnya membuat kawalan yang seimbang melalui kaedah pencegahan yang terbaik iaitu dengan membudayakan dan mengamalkan norma baharu kehidupan seperti penjarakan sosial dan pematuhan kepada kawalan kebersihan seperti kerap membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer,” jelas Redzuan. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -