Sekatan US terhadap sawit tidak beri kesan

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memaklumkan bahawa sekatan kepada produk sawit Malaysia yang dikenakan Amerika Syarikat (US) tidak memberi kesan signifikan kepada sektor tersebut buat masa ini.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, secara amnya eksport produk berkenaan ke Amerika Syarikat tidak menghadapi sebarang masalah.

Melainkan katanya sekatan dagangan yang dikenakan ke atas produk sawit negara keluaran Syarikat FGV sejak 1 Oktober lalu.

“FGV hanya mengeksport 40 tan sahaja minyak sawit ke Amerika Syarikat. Jumlah ini bersamaan dengan 0.0013 peratus daripada tiga juta tan keseluruhan jumlah eksport FGV.

“Selain itu, eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat antara Mei hingga September 2020 adalah sebanyak 292,940 tan dan 292,011 tan bagi tempoh yang
sama pada tahun 2019,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini semasa menjawab pertanyaan Dato’ Jalaluddin Alias [BN-Jelebu ].

Jalaluddin bertanyakan tentang kesan tindakan Amerika Syarikat memboikot produk sawit keluaran FGV terhadap import produk sawit Malaysia bagi tahun 2020.

Mohd Khairuddin turut menjawab sekali pertanyaan Dato’ Seri Salahuddin Ayub [PH-Pulai] berkenaan kebenaran dakwaan U.S Custom & Border Protection (CBP) berkaitan FGV menggunakan tenaga buruh paksa.

Jawap Mohd Khairuddin sekatan dikeluarkan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) kepada pihak CBP berkaitan perkara itu.

Namun katanya, kesahihan dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan.

Kata Mohd Khairuddin lagi isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di ladang-ladang sawit bukan isu baharu.

Pun begitu, undang-undang Malaysia jelas tidak membenarkan sebarang bentuk penyeksaan, penindasan, keganasan fizikal dan seksual terhadap mana-mana pekerja di semua sektor.

Walau bagaimanapun katanya, penyimpanan pengenalan diri (pasport) oleh majikan berkemungkinan berlaku atas dasar keselamatan setelah mendapat persetujuan daripada pihak pekerja.

“Namun, perkara ini merupakan salah satu elemen buruh paksa seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Jalan penyelesaian telah dicari bagi memastikan majikan tidak menyimpan pasport pekerja. Salah satu kaedah yang telah dilakukan oleh sebahagian besar syarikat perladangan sawit adalah dengan menyediakan tempat khas penyimpanan pasport dan pekerja berhak untuk mengambil pasport tersebut pada bila-bila masa,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -