‘Pork free’ bukan bermakna premis makan adalah halal

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mana-mana produk atau premis menggunakan sebarang bentuk ungkapan atau perbahasan yang mengelirukan pengguna berkenaan halal merupakan suatu kesalahan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, walaupun tiada undang-undang mewajibkan permohonan pensijilan halal dilakukan oleh setiap pengusaha premis makanan, namun melalui Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 telah meletakkan garis panduan bagi pengusaha premis makanan.

- Advertisement -

“Ini termasuklah ungkapan atau perbahasan seperti ‘makanan orang Islam’, ‘Muslim Product‘ dan lain-lain.

“Sekiranya didapati produk atau premis melakukan perkara-perkara bertentangan dengan perintah berkenaan atau menggunakan logo halal tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah juga menjadi satu kesalahan.

“Manakala, penggunaan istilah ‘no pork‘ atau ‘pork free‘ bukanlah suatu istilah yang menunjukkan bahawa premis berkenaan adalah halal atau menepati takrif halal mengikut peraturan dan undang-undang berkuatkuasa,” ujar Ahmad Marzuk.

Menurutnya lagi, permohonan SPHM adalah bersifat sukarela dan terbuka kepada semua pengusaha sama ada dimiliki oleh orang Islam ataupun bukan Islam.

“Buat masa ini, undang-undang untuk mewajibkan SPHM kepada pengusaha belum diwujudkan, namun Jakim dan pihak berkuasa agama negeri telah berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia premis dengan mewajibkan pensijilan halal melalui peraturan di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

“Antaranya Perbadanan Putrajaya bagi semua premis makanan, Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS Malaysia Berhad) dan Grand Saga di premis makanan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” ujarnya seraya menegaskan peranan Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bertindak sebagai Pihak Berkuasa Berwibawa bagi perakuan sijil halal.

Beliau menasihatkan agar masyarakat sendiri perlu sedar dan bijak untuk memilih makanan, produk atau premis yang telah disahkan halal oleh Jakim dan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Ahmad Marzuk berkata demikian bagi menjawab persoalan Abdul Latiff Abdul Rahman [PAS – Kuala Krai] semasa sesi pertanyaan jawab lisan dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff dalam pertanyaannya meminta ulasan dari kerajaan sama ada akan melaksanakan perintah wajib halal daripada Jakim terutama bagi kedai makan dan restoran di lapangan terbang dan pasar raya dan status ‘No Pork‘ yang sering dipamerkan oleh restoran berkenaan. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -