Pemimpin veteran akui debar di bawah PH

Bekas Ahli Parlimen Tumpat, Wan Hasan Wan Daud menerima buku daripada Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof
- Advertisement -

TUMPAT: Bekas ahli parlimen Tumpat, Wan Hassan Wan Daud, 82 berharap kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) diperkukuh dengan kerjasama parti-parti Melayu.

Katanya, perkembangan politik yang berlaku sekarang dianggap sebagai kesedaran orang Melayu selepas berdepan situasi sukar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Umno boleh dianggap baru sedar selepas mereka hilang kuasa pada PRU lepas. Begitu juga PAS tidak boleh keseorangan bagi memperluaskan pengaruh politik.

“Jadi dengan adanya medan yang dinamakan PN sekarang merupakan peluang terbaik bagi menyatukan semua orang Melayu bagi mempertahankan tanah air kita.

“Biarpun saya jarang mengikuti perkembangan politik, namun turut merasai suasana yang agak mendebarkan ketika negara berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Bharu semalam.

- Advertisement -

Beliau dikunjungi hormat Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof dan Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Kelantan, Jamaluddin Ishak.

Wan Hassan merupakan ahli parlimen PAS di Tumpat pada 1964. Beliau juga dilantik anggota Exco kerajaan negeri selepas menang di Dun Tok Uban pada PRU 1969.

Menurutnya juga, PAS, Umno dan Bersatu hendaklah menggunakan peluang yang ada sekarang bagi memperkukuhkan lagi hubungan.

“Menjaga agama Islam dan orang Melayu perlu menjadi agenda utama di samping menghormati masyarakat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menjangka Parti Amanah Negara (PAN) yang muncul sebagai serpihan PAS tidak mampu bertahan lama dalam arus politik negara. Menurutnya, sejarah yang menimpa Berjasa dan Hamim boleh menjadi iktibar. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -