Pemetaan semula Asia Barat agenda Israel Raya

- Advertisement -

PADA 26 Oktober lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu secara terbuka telah mengisytiharkan bahawa mereka dalam proses melakar semula peta Asia Barat. Pengisytiharan tersebut adalah sempena kejayaan Israel memeterai tiga perjanjian damai dalam tempoh tiga minggu dengan tiga Negara Islam, iaitu UAE, Bahrain dan Sudan.

Menurut laporan portal Middle East Monitor, Donald Trump menjangkakan Arab Saudi bakal mengikut jejak langkah 3 negara terbabit selepas ini. Portal rasmi Israel, Time of Israel pula melaporkan bahawa Pengarah Mossad, Yossi Cohen mendedahkan bahawa Arab Saudi bakal berbuat demikian selepas pilihan raya US yang baru sahaja berlangsung. Beliau juga percaya Oman turut membuat keputusan sama sejurus pilihan raya tersebut.

Netanyahu secara yakin mengatakan bahawa perkara ini bukan berlaku secara kebetulan. Sebaliknya ia adalah hasil polisi yang jelas direncanakan oleh Israel sejak sekian lama. Walaupun secara fakta kita melihat negara-negara kuasa besar dunia seperti US, Rusia, China dan kuasa serantau seperti Turki, Arab Saudi, UAE dan Iran yang banyak terlibat dalam konflik Asia Barat sejak Arab Spring meletus tahun 2011, kata-kata Netanyahu kali ini memberi petunjuk bahawa mereka juga terlibat dalam mencaturkan kekacauan terkini dalam Dunia Islam. 

- Advertisement -

Sykes-Picot asal peta terkini

Apabila dikaji lebih jauh, kita akan melihat segala fenomena politik yang berlaku sejak lebih 100 tahun yang lalu memberi keuntungan kepada kelangsungan agenda Zionis. Rancangan Zionis untuk meluaskan kekuasaan di Asia Barat sudah dapat dihidu seawal catatan pengasas Zionis, Theodore Herzl pada tahun 1904 bahawa Negara Yahudi adalah dari Sungai Mesir (Nil) hingga Sungai Furat.

Peta Asia Barat yang ada pada hari ini adalah hasil usahasama kuasa kolonialis British dan Perancis melalui Perjanjian Sykes-Picot tahun 1916. Tahun yang sama juga, Gabenor Uthmaniyyah bagi wilayah Hijaz, Syarif Hussain telah melancarkan perang terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang dikenali sebagai The Great Arab Revolt.

Dengan pemberontakan keluarga Sa’ud di Wilayah Najad, revolusi tersebut telah berjaya memisahkan Semenanjung Arab daripada kekuasaan Turki Uthmaniyyah. Lalu negara-negara bekas taklukan Uthmaniyyah ini dibahagikan mengikut Perjanjian Sykes-Picot. Di kala perpecahan Negara Arab itu, Palestin yang asalnya berada di bawah Uthmaniyyah diletakkan di bawah kekuasaan British berdasarkan perjanjian tersebut. 

Pada tahun 1917 pula, telah termeterainya satu rundingan antara British dan Zionis yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour. Perjanjian ini adalah bagi membenarkan penghijrahan besar-besaran Yahudi dari seluruh dunia untuk menduduki Palestin. Sejak itu, populasi Yahudi di Palestin bertambah dengan begitu pesat, manakala populasi Muslim berkurangan sedikit demi sedikit atas faktor pembunuhan, rampasan tanah dan sebagainya.

Zionis semakin merealisasikan visi

Walaupun satu persatu Negara Islam telah diberikan kemerdekaan selepas Perang Dunia Pertama, namun Palestin kekal di bawah kekuasaan British dan agenda penghijrahan Yahudi masih berterusan. Pada tahun 1947, pemimpin spiritual Yahudi, Rabbi Fischmann mengulang idea Herzl dalam persidangan khas PBB bahawa tanah Yahudi adalah daripada Sungai Nil ke Sungai Furat.

Tahun 1948, Negara Haram Israel secara rasminya ditubuhkan di atas tanah Palestin. Selepas beberapa siri peperangan dengan Negara Arab sekitar, Israel berjaya menguasai hampir keseluruhan Bukit Golan daripada Syria, dan pernah menakluk Semenanjung Sinai daripada Mesir.

Tahun demi tahun, Israel semakin giat menakluk saki-baki tanah Palestin daripada umat Islam sehingga tinggal cebisan tanah di Tebing Barat dan Gaza sahaja. Melalui proses rundingan inisiatif daripada Amerika Syarikat yang dikenali sebagai The Deal of The Century sejak 2017, negara adikuasa itu secara unilateral telah mengisytiharkan bahawa wilayah Baitulmaqdis (Jurusalem) adalah milik penuh Israel pada akhir tahun 2018. Tahun 2019, keseluruhan Bukit Golan pula diisytiharkan menjadi milik Israel.

Agenda Deal of The Century sebenarnya lebih luas daripada itu. Mengikut maklumat yang dibocorkan, Israel bakal meluaskan kuasanya ke tanah Jordan, Mesir dan Arab Saudi.

Inilah yang dimaksudkan oleh Netanyahu bahawa semua ini bukan secara kebetulan. Perkembangannya sangat konsisten dari semasa ke semasa. Walaupun kuasa imperial bertukar daripada British kepada AS, namun agenda Zionis berjalan rapi.

Pemetaan terbaru Asia Barat

Agenda pemetaan baharu Asia Barat boleh dilihat menerusi buku bekas Keselamatan AS, The Grand Chessboardyang diterbitkan pada tahun 1997. Penulis mencadangkan strategi Balkanization diterapkan di Timur Tengah (Asia Barat) dalam menjayakan agenda pecah dan perintah. Balkanization merujuk kepada situasi perbezaan ideologi dan etnik yang berlaku di wilayah Balkan, Eropah Timur yang membawa kepada siri-siri peperangan saudara selepas Perang Dunia Kedua.

Dengan kepelbagaian ideologi umat Islam seperti Sunni, Syiah, Alawi, Wahhabi, Kurdi, Arab, Turki, Parsi dan kabilah-kabilah berpengaruh seperti di Yaman dan Libya, ia digunakan untuk mencetuskan perang saudara seperti di Balkan. Bekas Setiausaha AS, Condoleeza Rice berucap di Israel pada tahun 2006, menyatakan bahawa peta Sykes-Picot sudah tamat tempoh dan pemetaan semula perlu diadakan. Namun tambah beliau, prosesnya mungkin agak menyakitkan.

Pada 2007, muncul peta cadangan daripada pakar strategi ketenteraan US, Ralph Peters dikenali sebagai ‘Peta Berdarah’. Beliau mencadangkan peta Asia Barat sedia ada dipecahkan lagi kepada 5 negara baharu. Pakar politik AS, Robin Wright pula pada tahun 2013 melakarkan kemungkinan bahawa 12 negara baharu bakal wujud termasuk di Utara Afrika.

Pada 2011, Arab Spring meletus bermula daripada Tunisia. Sehingga ke hari ini, Arab Spring telah melahirkan kekacauan di Syria, Yaman dan Libya. Pada 2017, negara autonomi Kurdistan telah diisytiharkan di Utara Iraq sebagaimana cadangan Peters dan Wright menyebabkan rantau itu terus bergolak.

Normalisasi Israel yang kita lihat hari ini tidak lebih daripada sekadar batu-batu tanda (milestone) Zionis mengikut halatuju (roadmap) yang telah dilakar sekian lama. Banyak lagi perkara-perkara besar yang dapat kita lihat akan berlaku selepas ini.

7 formula kebangkitan Islam

Apa yang menyedihkan, agenda Israel Raya ini dijayakan hasil bantuan orang Islam sendiri. Mereka yang larut dalam perbalahan kaum, mazhab dan kabilah, ditunggang untuk memastikan umat ini terus berpecah. Golongan berkepentingan untuk meraih kuasa atau kekayaan pula menjadi tali barut untuk menyalurkan semua propaganda mereka ke Dunia Islam. Kesedaran dan kepedulian umat akan agenda musuh Islam pula amat mengecewakan.

Apakah masih ada harapan untuk masa depan ummah? Semuanya terletak di tangan kita. 

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(ar-Ra’d: 13)

Sebagai cadangan, terdapat 7 formula yang perlu dipraktikkan oleh umat Islam seluruh dunia:

(1) Memposisikan ulamak sebagai pemimpin ummah.
(2) Berusaha mengembalikan sistem khilafah Islamiah.
(3) Merapatkan jurang sesama Islam di atas platform ilmiah.
(4) Mengenalpasti musuh Islam yang sebenar.
(5) Membangunkan kemahiran teknologi sendiri di kalangan orang Islam.
(6) Membina rangkaian ekonomi Islam seperti EU.
(7) Memperkasa pakatan strategik melangkaui bangsa dan agama.

Insya-Allah jika berpeluang, kita akan menghuraikan lebih lanjut mengenai 7 formula ini dalam perkongsian akan datang.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -