Nafi 2000 permohonan JKM tertangguh kerana kakitangan cuti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menolak kenyataan berhubung 2,000 borang permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) tertangguh disebabkan pekerja sedang bercuti.

Timbalannya Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh kakitangan JKM (WPKL).

- Advertisement -

“Antaranya, permohonan yang diterima adalah tidak lengkap dan menyebabkan JKM perlu menyusul semula dengan pemohon untuk melengkapkan borang permohonan tersebut,” ujar Siti Zailah dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa yang sama katanya, kebanyakan pegawai dan kakitangan di JKM WPKL turut menjalankan tugas sebagai frontliners Covid-19 dengan mengedarkan bakul makanan kepada penduduk setempat yang memerlukan.

Kata Siti Zailah, mereka juga bertugas di pusat kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya nisbah beban tugas pegawai JKM dengan kes adalah agak tidak seimbang iaitu satu nisbah 500 hingga 600 kes (1:500-600 kes).

Oleh yang demikian, Siti Zailah menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk mengatakan pegawai JKM bercuti sedangkan tugas-tugas tersebut perlu dilaksanakan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

“Kita sangat menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua pegawai-pegawai JKM,” kata Siti Zailah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Prabakaran A/L M Parameswaran [PH-Batu] meminta penjelasan tentang 2,000 borang permohonan bantuan JKM (WPKL) masih tertangguh bagi tahun 2020 dikatakan pekerja sedang bercuti dan tindakan kementerian bagi menangani masalah itu.

Bagi mengatasi masalah tunggakan permohonan Siti Zailah berkata, satu pasukan task force telah ditubuhkan pada 20 Oktober 2020 untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak dan dijangka dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.

“Kementerian sedang melaksanakan kajian dan penstrukturan semula bagi melihat beban tugas pegawai dan kakitangan JKM dan telah mengadakan perbincangan serta konsultasi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menambah bilangan Pegawai Kebajikan Masyarakat.

“Permohonan pertambahan perjawatan ini telah dikemukakan kepada JPA untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Ia melibatkan juga pertambahan jawatan di peringkat Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dan juga institusi-institusi di bawah JKM,” ujarnya.

Siti Zailah berharap dengan pertambahan perjawatan ini dapat menyelesaikan isu-isu yang tertunggak. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -