Memperingati 200 tahun pengajian pondok di Kelantan

- Advertisement -

PENDIDIKAN merupakan satu mekanisme dakwah yang terpenting dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap agama. Islam sejak awal lagi menekankan kepentingan ilmu melalui kisah penciptaan Adam A.S dan juga perintah membaca. Bahkan, Nabi S.A.W sendiri pun menggerakkan dakwahnya melalui halaqat ilmu di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, sebelum Masjid Nabawi mengambil peranan besar kemudiannya.

Kajian Wan Mohd Saghir Abdullah mengatakan Islam dibawa ke Kelantan oleh seorang pendakwah yang bernama Sheikh Ali Abdullah. Beliau masuk ke Kelantan melalui Langkasuka (Pattani) pada tahun 1050M. Tarikh ini tidak jauh dari dakwaan Wan Hussein Azmi yang mengatakan Islam sampai ke Kelantan menjelang tahun 1000M. Berdasarkan dinar emas yang ditemui di Kota Kubang Labu, bahawa pada tahun 577H (1181M) telah berdiri Kerajaan Islam di Kelantan. WA Graham yang menulis pada 1908M mengatakan Islam sudah berkembang di Kelantan sekitar tahun 1200M.

Perkembangan Islam di Pantai Timur Semenanjung boleh dikatakan mulai pesat pada abad ke-16 apabila wujudnya pusat-pusat pengajian Islam. Di Nusantara, pusat pengajian Islam pertama dibuka ialah Dayah Cot Kala di Aceh yang dibuka sekitar 1012M. Pada 1399, seorang lulusan sebuah dayah (pondok) di Aceh, Maulana Malik Ibrahim telah membuka pesantren di Gerisik, Jawa. Tetapi di Tanah Melayu pondok yang pertama dikatakan dibuka oleh Faqih Wan Musa bin Sheikh Salleh al-Laqihi di Kampung Sena, Pattani pada abad ke-16, iaitu Pondok Kampung Sena.

- Advertisement -

Setelah pondok berkembang pesat di Pattani sehingga abad ke-18M, Kerajaan Pattani telah jatuh ke tangan Siam pada 1786M, menyebabkan para ulamak mula berhijrah ke Kelantan. Salah seorang dari mereka ialah Tuan Guru Haji Hashim yang terkenal dengan gelaran Tok Soraf. Beliau berhijrah ke Kelantan bersama tiga anaknya, iaitu Faqih Abdullah, Faqih Abdul Rahmat dan Faqih Ali. Mereka membuka kampung dan bermastautin di Kampung Bukit (sekarang Pulai Chondong). Tok Soraf menjadi imam dan mengajar agama bersama anak-anaknya di Surau Kampung Bukit pada awal zaman pemerintahan Long Yunus (1765-1795M).

Anak kepada Faqih Abdullah, Abdul Samad (1792-1873M) telah dilahirkan di sini. Beliau mendapat pendidikan agama dari keluarganya sendiri sehingga berumur 16 tahun. Setelah itu, beliau dihantar belajar di Makkah pada 1808M. Selepas 10 tahun di Makkah, Abdul Samad telah kembali ke Kampung Bukit dan dilantik menjadi Imam Surau Kampung Bukit. Beliau mulai mengajar di sini beberapa ketika, sebelum mencari tapak baru sekitar 1820 untuk membuka surau yang lebih selesa.

Beliau telah memilih satu kawasan di pinggir kampungnya untuk membuka surau baru. Berhampiran tapak surau itu terdapat sebarang pokok pulai yang tumbuh condong. Di situlah (sekarang Kampung Bilal Talib) didirikan sebuah surau baru. Surau ini mula dikunjungi para pelajar yang dekat dan jauh. Yang jauh memudiki Sungai Kelantan, kemudian melalui Sungai Bagan untuk ke surau tersebut bagi mengikuti pengajian bersama Haji Abdul Samad. Akhirnya, di bawah pokok pulai itu, tumbuh pondok-pondok sebagai penginapan pelajar seperti mana kampus pondok di Teluk Manuk dan Pauh Bok di Pattani.

Sejak itulah, pondok-pondok itu disebut Pondok Pulai Chondong. Akhirnya nama beberapa kampung di situ seperti Kampung Bukit, Kampung Bilal Talib dan Kampung Tok Mat telah tenggelam, sebaliknya yang masyhur ialah Kampung Pulai Chondong, sempena nama pondok tersebut. Menurut Prof Mohamad Abu Bakar, “Tarikh tepat penubuhan pondok di Kelantan tidaklah diketahui, tetapi adalah dipercayai bahawa persekolahan pertama bermula dalam tahun 1820, apabila Tuan Haji Abdul Samad mempelopori pembentukan rumah-rumah pondok di Pulai Chondong yang terletak di Jalan Kuala Kerai-Kota Bharu.”

Sejak berdirinya Pondok Pulai Chondong pada 1820, Haji Abdul Samad mula dikenali dengan gelaran Tok Pulai Chondong (1792-1873), dan sejak itu juga sistem pengajian pondok mulai tumbuh di Kelantan dari generasi ke generasi sehingga lahirnya Tok Kenali (1870-1933) sebagai tokoh ulamak terbesar di Kelantan pada abad ke-20. Sedangkan pada abad ke-19, tokoh ulamak Kelantan yang paling masyhur ialah guru Tok Kenali, iaitu Tok Wan Ali Kutan (1820-1913), murid Tok Pulai Chondong yang mengajar di Makkah.

Kerana hubungan ilmu tiga generasi ini – Tok Pulai Chondong, Tok Wan Ali Kutan dan Tok Kenali – nama Kelantan telah masyhur di seluruh Alam Melayu sebagai Serambi Makkah. Pada tahun ini, saat Kelantan sedang menyambut 30 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) di bawah kepemimpinan ulamak, sebenar juga adalah ulang tahun ke-200 sistem pendidikan pondok di Kelantan. Peranan Kelantan sebagai pusat keilmuan Islam sewajarnya diperkatakan demi mengekalkan Kelantan sebagai negeri tadahan wahyu untuk generasi akan datang.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 5/11/2020

Masjid Pulai Chondong yang dibina semula oleh Tok Pulai Chondong pada 1856 setelah berlaku satu kebakaran, mempunyai jasa yang sangat besar terhadap perkembangan Islam di Kelantan. Menara masjid ini masih berfungsi sehingga sekarang di Masjid Pulai Chondong yang baru.
Tok Wan Ali Kutan, murid Tok Pulai Chondong yang paling masyhur. Kitab beliau, Lum’at al-Aurad masih dibaca hingga sekarang. Beliau adalah ulamak Kelantan yang paling masyhur pada abad ke-19.
Tok Kenali, murid Tok Wan Ali Kutan di Makkah. Beliau adalah ulamak terbesar Kelantan. Jasa dan sumbangan beliau kepada Kelantan tiada tolok bandingnya.
- Advertisement -