Memaksimumkan kelahiran selamat

- Advertisement -

SASARAN dunia bagi setiap negara menghendaki kadar kematian bayi (neonates < 28 hari) tidak lebih dari 12 per1000 kelahiran hidup. Negara kita sudah mencapai 4.6 per 1000 kelahiran hidup.

Manakala sasaran kadar kematian ibu dunia <70 per 100 000 kelahiran hidup bayi. Malaysia juga meletakkan rekod yang baik iaitu 23.5 per 100 000 kelahiran hidup.

Antara faktor yang memainkan peranan penting adalah penyediaan pihak berkuasa agar setiap kelahiran adalah selamat. 

Matlamat utama kelahiran selamat ini bagi menjamin anak-anak dan ibu-ibu diberi hak mengikut sistem dan undang-undang dalam negara.

- Advertisement -

Apa makna kelahiran selamat?

(1) Kelahiran selamat merujuk kepada kelahiran yang dihadiri dan dikendalikan oleh kakitangan kesihatan yang mahir, dan ia mesti dikendalikan dalam persekitaran yang betul, sesuai, selamat dan bersih.

(2) Setiap peringkat kelahiran akan mempunyai risiko untuk ibu dan bayi. Oleh itu, pemantauan, pemerhatian, dan pengendalian yang betul oleh kakitangan kesihatan yang mahir adalah wajib untuk mengelakkan atau mengurangkan sebarang komplikasi yang mungkin berlaku semasa bersalin. 

(3) Penilaian komplikasi amat penting dilakukan oleh kakitangan yang mahir serta terlatih mengikut pengalaman yang pernah digali. Begitu juga penggunaan instrumen berdasarkan penilaian komplikasi itu seperti vakum, forsep atau pembedahan. 

(4) Pengendalian kelahiran wajib dilakukan oleh kakitangan kesihatan yang mahir dengan kelayakan perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Perbidanan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Perubatan Malaysia bagi Pengamal Perubatan. 

Kita mujur, kerajaan telah melengkapi jumlah yang cukup kondusif dari prasarana. Data tahun 2018 mendapati negara kita telah terbina 135 buah hospital kerajaan, 1090 klinik kesihatan dan 1791 klinik desa. Pendeknya, terlalu naif jika ada di kalangan masyarakat yang menolak kemudahan yang disediakan ini. Hatta Orang Asli sekalipun mendapat akses kesihatan yang begitu kondusif ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 5/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -